Friday, September 4, 2009

PROJEK 16 SEPTEMBER: ANWAR SERANG TERENGGANU

Berita sembilan Adun Umno Terengganu akan melompat parti semakin panas diperkatakan. Terbaru, seorang Exco kerajaan negeri dikatakan sudah tidak sabar lagi dengan apa yang berlaku dalam kerajaan negeri Terengganu pimpinan Datuk Ahmad Said. Beliau dikatakan mengugut akan meletakkan jawatan tidak lama lagi jika keadaan yang ada terus berkekalan. Isu yang berlaku di Terengganu sangat-sangat tidak disenangi oleh Adun Umno khasnya yang tidak bersama dalam kem Ahmad Said.

Ini kerana, sejak tersisih mereka kehilangan segala-galanya bukan sahaja jawatan bahkan juga projek-projek kerajaan negeri. Mereka bukan lagi hanya bersaing dengan penyokong Ahmad Said bahkan juga mereka yang berselindung di belakang Istana Terengganu yang menabalkan Ahmad Said.

Ahmad dilantik sebagai MB Terengganu selepas pilihan raya umum 2008 apabila Datuk Seri Idris Jusoh ditolak oleh istana walaupun nama beliau dikemukakan oleh Umno sebagai bakal MB. Akibat tidak bersetuju dengan penolakan terhadap Idris, sekumpulan ahli Umno telah mengadakan demo di perkarangan kediaman rasmi MB Terengganu dan menaikkan beberapa kain rentang yang amat sensitif.

Antara kain rentang itu berbunyi “Kami nak Deris Jusoh natang”. Ia disiarkan oleh sebuah stesen TV dan gambarnya disebarkan merata-rata selepas itu. Tafsiran yang berbangkit dari kain rentang itu amat ketara iaitu seolah-olah mereka menyifatkan Sultan Terengganu yang juga Yang Dipertuan Agung adalah ‘binatang’. Sejak itu, hubungan antara penentang istana dengan istana semakin renggang.

Ada juga yang mendakwa, Ahmad Said bukan lagi MB Terengganu yang sebenar tetapi pihak yang mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku terhadap beliau. Ekoran itu, peluang perniagaan dan projek untuk penentang Ahmad Said semakin tipis bahkan hilang terus. Ini menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan lain. Jalannya adalah bekerjasama dengan PAS dan membentuk kerajaan baru kerana PAS juga mempunyai hubungan baik dengan istana Terengganu.

Menurut satu sumber, Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengadakan pertemuan bersama sembilan ADUN Umno Terengganu tetapi tidak pasti ia melibatkan usaha menggulingkan kerajaan negeri. Wakil rakyat Hulu Besut, Nawi Mohamad mengakui bahawa pertemuan antara Anwar dan sembilan orang wakil rakyat itu – yang diura-urakan menyertai PKR sebelum bergabung dengan lapan ADUN PAS – memang telah diadakan. Nawi bagaimanapun menjelaskan tidak mempunyai maklumat lengkap kandungan perbincangan kedua-dua pihak berkenaan.

No comments: