Wednesday, October 7, 2009

DR.MAZA KETUAI SATU ORGANISASI DAKWAH...???



"Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih dahulu akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO".

Petikan di atas adalah secebis ringkas yang diambil dalam tulisan drmaza di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4/10/09, selanjutnya sila layari http://drmaza.com

1. Secara ringkasnya, saya amat bersetuju dengan pandangan ikhlas drmaza berhubung pengukuhan roh Islam dan perlunya parti UMNO kembali kepada asas perjuangan Islam yg sebenar. Saya secara peribadi berpandangan, parti UMNO sebenarnya lebih menonjolkan agenda perjuangan bangsa iaitu KEMELAYUAN dan Islam hanya dijadikan sebagai penghias dalam kerangka perjuangan mereka.

2. Sebagai golongan muda, saya amat menyedari bahawa kebangkitan atau penerimaan golongan muda yang banyak memihak kepada parti pembangkang khususnya gerakan Islam yang dibawa oleh PAS adalah disebabkan agenda perjuangan Islam yang dibawa oleh mereka. Memang tidak dinafikan, parti UMNO sendiri mempunyai program-program keislaman yang dianjurkan tetapi penganjurannya hanyalah bersifat bermusim dan hanya memenuhi agenda parti sahaja. Jauh sekali pembudayaan Islam itu dijadikan sebagai teras dalam kehidupan seharian.

3. Berbeza dengan parti PAS, dalam setiap masa dan ketika Islam adalah teras dan tunjang perjuangannya. Saya mengambil contoh, dari pimpinan tertinggi hinggalah ke pemimpin bawahan semuanya berimejkan Islam. Bukan itu sahaja, setiap pemimpin mereka sentiasa memenuhi jemputan dan berlegar keseluruh negara untuk menyampaikan kuliah atau tazkirah sama ada subuh, siang atau malam. Inilah roh atau semangat Islam yang ditonjolkan oleh Parti PAS dan kesungguhan mereka untuk menyampaikan risalah Islam tanpa jemu dan letih patut di ikuti oleh parti UMNO.

4. Berbalik kepada tulisan drmaza, saya begitu optimis yang beliau pun mempunyai keinginan yang begitu kuat untuk melihat parti UMNO ini kembali kepada teras perjuangan Islam yang sebenar seterusnya dibudayakan di kalangan ahli-ahlinya. Ruang dan kekuatan UMNO untuk mengukuhkan perjuangan Islamnya belum terlambat cuma memerlukan keazaman, kebangkitan dan keupayaan yang kental bermula dari peringkat kepimpinan tertinggi.

5. Saya merasakan drmaza mempunyai keupayaan dan boleh diberikan ruang oleh parti UMNO untuk menyusun dan merangka program-program keislaman yang bersepadu dan berterusan agar pembudayaan Islam dalam parti UMNO terus meresap dalam jiwa dan kehidupan mereka. Saranan ini bukan bererti drmaza perlu masuk atau menjadi ahli UMNO tetapi kita perlu menghargai dan mengambil peluang nasihat, panduan serta sifat keterbukaan yang beliau tonjolkan. Sebagaimana tulisan drmaza,

"Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis".

6. Sebagai tokoh ilmuan muda Islam yang dinamik dan progresif, saya amat bersetuju seandainya drmaza diberikan tempat atau platform dalam mana-mana organisasi dakwah atau pertubuhan Islam di negara ini untuk meneruskan agenda perjuangan dakwahnya di Malaysia. Walaupun tanpa platform tersebut, beliau masih boleh meneruskan agenda dakwahnya tetapi berbeza seandainya drmaza mengetui sesuatu organisasi dakwah ataupun pertubuhan Islam.

7. Dalam hal ini, saya merasakan kerajaan menerusi sokongan Perdana Menteri akan menimbang dan memperhalusi perlantikan drmaza bagi mengetuai salah satu organisasi dakwah Islamiah di negara ini sebagaimana perlantikan drmaza sebagai Mufti Perlis suatu ketika dahulu. Saya amat yakin, dengan ketokohan dan pemikiran Islam drmaza yang progresif dan dinamik ini, boleh di manfaatkan secara langsung oleh pihak kerajaan dan parti UMNO khususnya.