Tuesday, October 13, 2009

ISA - TUNAI JANJI, PIKUL AMANAH, MASA UNTUK BERKERJA

"Tahniah Tan Sri Mohd Isa Samad"

1. Lazimnya, reaksi awal para pemimpin yang dilantik memegang sesuatu jawatan atau yang menang dalam sesuatu pertandingan ialah ungkapan "saya berjanji akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu dengan sebaik- baik mungkin."

2. Dalam Islam, amanah merupakan satu perkara yang sangat penting dan amat dititikberatkan dalam kehidupan seseorang kerana ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar pada amanah yang diletakkan ke atas dirinya.

3. Manusia tidak boleh lari atau melepaskan dirinya daripada menunaikan amanah yang telah diberi kepadanya. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan.

4. Oleh itu, sikap para pemimpin itu sendiri yang menganggap kepimpinan tidak lagi di letakkan sebagai amanah dari Allah tetapi melihatnya sebagai satu kemegahan dan kemasyhuran (populariti) telah mengundang musibah yang mengaibkan.

5. Justeru, janganlah kiranya masalah kepimpinan itu dipandang ringan, jangan sekali-kali ada di antara kita terlalu ghairah untuk menjadi pemimpin dan menganggap kepimpinan itu mengundang tasyrif iaitu untuk dimuliakan, diagungkan dan disanjung-sanjung. Malah kepimpinan juga dianggap mengundang kekayaan serta kemewahan hidup.

6. Yang lebih penting, kita perlu membetulkan persepsi bahawa kepimpinan bukanlah tasyrif, tetapi kepimpinan itu adalah taklif atau bebanan yang bakal dipersoalkan di mahkamah Allah SWT di akhirat kelak.

7. Marilah kita merenungi dan mengingati pesanan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang masyhur bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu." Kepada Tan Sri ISA, anda kena tunai janji, pikul amanah dan sekarang masa untuk berkerja- Rakyat Perlu di Utamakan.