Thursday, September 3, 2009

MUSA DISAMBUNG SETAHUN LAGI


Walaupun dipertikaikan, kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai ketua polis negara dilanjutkan setahun lagi mulai 13 Sept ini.

Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam hari ini.

Kelmarin, PAS memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya menolak pelantikan semula beliau dengan alasan peningkatan kadar jenayah yang gagal dibendung dan muncul dakwaan terbaru bahawa wujud penglibatan kongsi gelap dalam mengatur kenaikan pangkat pegawai polis.

Apakah penyambungan kontrak beliau selama setahun lagi akan merungkai dan membendung kadar jenayah yang semakin meningkat ataupun perlantikan semula beliau ada agenda tersembunyi oleh pihak-pihak yang berkenaan...? Kita tunggu dan lihat.

SEJARAH TERCIPTA.. KAPAL SELAM PERTAMA NEGARA


Sejarah tercipta buat negara dengan ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Tunku Abdul Rahman, di pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, di Pulau Indah di sini hari ini.

Ketibaannya disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia; Jen Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan anggota keluarga anak kapal KD TAR.

KD TAR adalah antara dua kapal selam baru jenis Scorpene yang ditempah oleh kerajaan pada 2002 dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion. Ia dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol. Sebuah lagi yang dinamakan KD Tun Razak, akan ditauliahkan pada Oktober ini dan dijangka tiba di Malaysia pada Mac tahun depan.

Kapal ini dibanggai kerana berkeupayaan dapat mengawal perairan, dapat menyelam sejauh 100 hingga 200 meter. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan modern dan kelengkapan perang enam tiup peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak. Peluru berpandu ini anti kapal permukaan dan terpedo antikapal selam.

Ianya berkuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot nautika itu berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 periuk api, manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya.