Tuesday, September 8, 2009

BAGAN PINANG TENTUKAN HIDUP MATI UMNO-BN


1. Pada penilaian penulis pilihan raya kecil ke-9 ini sangat penting samaada bagi UMNO-BN dan Pakatan Rakyat (PR). Pilihan raya pertama di zon selatan ini memberi peluang kepada UMNO-BN dan PR menunjukkan belang dan taring mereka sebenarnya. Masa inilah UMNO-BN boleh membuktikan kepada rakyat, apakah mereka masih relevan dalam politik arus perdana dan sejauh manakah PR diterima umum seperti mana yang mereka dibanggakan selama ini.

2. BN yang kalah dalam tujuh pilihan raya kecil selepas PRU12 terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kepada Pas apabila kalah pada 17 Januari lalu. Bagaimanapun, BN mempertahankan DUN Batang Air di Sarawak pada 7 April. Selain itu, BN kalah di Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan lima lagi pada tahun ini - Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau (7 April), DUN Penanti (31 Mei), DUN Manek Urai (14 Julai) dan DUN Permatang Pasir (25 Ogos).

3. Sebab itulah bagi penulis pertandingan di Bagan Pinang bukan sekadar mengisi kekosongan sebaliknya lebih besar makna khususnya buat BN. Di Negeri Sembilan nampaknya, kepimpinan negeri dalam UMNO sudah menyedari bahawa BN tiada pilihan kecuali memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

4. Ada dua sebab utama mengapa UMNO-BN perlu mengekalkan kerusi tersebut. Pertama, kekalahan tentu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri goyang dan tidak selamat. Ini kerana BN sebelum ini hanya mempunyai 20 kerusi iaitu kelebihan empat kerusi berbanding 16 wakil pakatan pembangkang. Dari segi hakikat suara dalam DUN Negeri Sembilan sebelum ini, hanya 19 wakil rakyat BN boleh mengundi. Ini kerana seorang lagi ADUN, Datuk Razak Mansor dilantik sebagai Speaker DUN yang hanya boleh memberi undi pemutus ketika keputusan seri.

5. Sebab itu, peringatan kepada BN ialah jika kalah di DUN Bagan Pinang, pakatan pembangkang akan meningkat suaranya kepada 17 undi dalam DUN manakala suara BN kurang satu kepada 18 undi iaitu hanya kelebihan satu undi.

6. Sebab kedua yang tidak kurang pentingnya ialah demi kelangsungan UMNO-BN ialah kemenangan di Bagan Pinang bakal menamat atau menghentikan momentum di pihak PR yang menang berterusan dalam tujuh pilihan raya kecil sebelum ini. BN harus sedar dalam suasana politik semasa, faktor jaminan "calon mampu menang" amat penting dan majoriti 2,333 yang diperoleh dalam PRU12 bukanlah jaminan untuk mengekalkan kerusi itu.

7. Pas menerusi calonnya dalam PRU-12, Ramli Ismail telah membuktikan parti itu semakin diterima di Bagan Pinang apabila memperoleh 4,097 undi. Undi majoriti untuk BN merosot berbanding majoriti 4,411 undi pada PRU11.

8. Lantaran itu, UMNO-BN perlu menghadapi pilihan raya kecil ini dengan perancangan yang paling smart dan strategis. Seluruh jentera dan tenaga UMNO-BN perlu disepadukan. Jangan sekali-kali ada mana-mana individu atau puak yang ingin mencari political mileage di sini tetapi carilah kemenangan bersama demi survival politik UMNO-BN.

9. Oleh itu, kepada pihak UMNO-BN, ingatlah kejayaan dalam pilihan raya kecil kali ini sangat bererti bagi UMNO-BN. Ia akan menzahirkan dan membuktikan kelangsungan hidup mati riwayat politik UMNO-BN dalam arus perdana. Kalah menunjukkan UMNO-BN boleh bersiap sedia menggali kubur di negeri berkenaan dan melenyapkan pengaruhnya dalam persediaan menghadapi PRU yang ke-13.