1. Umum mengetahui betapa meruncingnya tahap dan nilai etika remaja Islam masa kini. Apakah keadaan ini menandakan institusi kekeluargaan semakin terhakis dan tidak lagi berfungsi dalam proses pentarbiahan terawal anak-anak. Kegagalan institusi keluarga memainkan peranan sebagai role model dan qudwah hasanah (teladan) semakin menyeret remaja jauh daripada kebenaran dan kesedaran.
2. Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah at-Tahrim ayat 6)
3. Ayat ini menegaskan tentang bahaya atau akibat daripada melanggar perintah Allah. Oleh itu, setiap individu Islam khususnya bapa wajib menyedari seterusnya mendidik anak, isteri dan keluarga yang kita kasihi dengan ajaran dan adab serta peraturan yang telah digariskan oleh Islam supaya diri dan keluarga kita terselamat dari kemurkaan Allah.
4. Penyelesaian perlu ditumpukan pada peringkat awal iaitu bermula dengan pengukuhan sistem kekeluargaan yang menitikberatkan pengukuhan nilai murni ke arah melahirkan keluarga harmoni. Pendidikan tidak formal oleh ibu bapa yang bermula dari rumah meliputi bimbingan, muhasabah dua hala dan pemantauan berterusan untuk meningkatkan etika dan peranan remaja perlu dilaksanakan oleh setiap keluarga. Pembangunan nilai berasaskan agama, persediaan memasuki alam remaja dan ketahanan diri menghadapi pergolakan sosial perlu ditanam dalam institusi keluarga.
5. Kehidupan dan pendidikan berasaskan agama mestilah diterapkan kepada remaja bagi menjamin kemantapan dan pemeliharaan akidah serta jati diri sempurna. Nilai baik dan etika hidup sihat perlu menjadi budaya kehidupan sesebuah institusi kekeluargaan.
6. Andainya penjagaan dan pendidikan remaja dapat dilihat sebagai sebatang pokok, maka pendidikan agama adalah akar tunjang kepada kekuatan remaja. Pendidikan terhadap anak-anak merupakan perkara yang amat penting dan dititikberatkan dalam ajaran Islam.Untuk mencapai kesempurnaan pendidikan anak-anak, ibu bapa perlu mewujudkan suasana yang harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumah tangga terlebih dahulu.
7. Sekiranya suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, sukarlah bagi mereka mentarbiah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam. Maka dengan sebab itulah rumah, ibu bapa dan keluarga mesti dijadikan institusi penting dalam pembangunan seterusnya melahirkan anak-anak cemerlang.
Kita kerap diingatkan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikan Yahudi, Nasrani ataupun Majusi".
8. Ternyata bahawa berjaya atau tidaknya seorang anak itu menjadi insan yang cemerlang bergantung kepada didikan ibu bapa. Mungkinkah tanggungjawab yang berat ini dapat dipikul dan dilaksanakan oleh seorang ibu secara bersendirian? Jawabnya tentu tidak, kerana seorang ayah juga berperanan dalam pembentukan akhlak anak-anak.
9. Oleh yang demikian proses pentarbiahan anak-anak ini mengambil masa yang panjang dan sudah tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam apa juga bentuk pengorbanan yang perlu dilakukan. Oleh itu sebagai ketua dan pemimpin dalam keluarga, apakah kita sudah bersedia untuk dipertanggungjawabkan dan diadili di hadapan Allah kelak mengenai kepimpinan kita di dunia ini.
No comments:
Post a Comment