Tuesday, November 3, 2009

PELIK BIN AJAIB.....APABILA JAIS MENANGKAP ULAMA




1. Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentu memeranjatkan banyak pihak. Alasan yang diberi, disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

2. Penahanannya pula berlaku di sebuah rumah persendirian di Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur, waktu tengah malam sesudah tamat kuliah dan orang ramai telah meninggalkan kediaman berkenaan.

3. Saya aneh tentang dua perkara. Pertama, Dr. Asri dikatakan mengajar tanpa tauliah. Kedua, timbul pula tohmahan dan tuduhan mengatakan Dr. Asri menyebarkan ajaran atau gerakan Wahabi dan dikatakan beliau menolak, maknanya tidak mengiktiraf pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

4. Itulah sesuatu yang beliau sendiri nafikan tidak seperti dakwaan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) dalam memorandum mereka bertarikh 12 Oktober kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

5. Situasi begini yang menimpa Dr. Asri itu akan mengelirukan masyarakat, lebih-lebih lagi umat Islam.

6. Aneh sungguh, seorang yang bertaraf mufti, berpengajian tinggi sehingga memiliki ijazah kedoktoran di bidang pengajian al-Quran dan kepakaran Hadis, sewenang-wenangnya diperlakukan sama dengan orang yang tidak berilmu, orang jahil atau tidak ubah disamakan seperti Ayah Pin atau Rasul Melayu atau mana-mana ajaran sesat yang lain.

7. Soal tauliah sepatutnya tidak timbul. Apakah patut seseorang yang bertaraf mufti, lengkap ilmu agama dan pengetahuannya, tidak layak ditauliahkan atau masih memerlukan tauliah?

8. Saya percaya, sebagai mantan mufti, beliau ada memiliki tauliah, sekurang-kurang yang dikeluarkan di Perlis. Tetapi akibat kita ada pelbagai peringkat kuasa agama, maka pentauliahan dan penguatkuasaannya menjadi tidak sama hak dan terhad berdasarkan wilayah kuasa tadi.

9. JAIS dan mana-mana Majlis Agama Islam Negeri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), perlu duduk semeja, segera yang mungkin. Mereka perlu cari jalan sepakat, bermuafakat dan menggubal garis panduan sebenar bagi seseorang yang layak untuk menjadi pensyarah atau mengajar agama.

10. Mungkin peraturan yang ada selama ini sudah usang atau lapuk dan perlu diperbaharui.

11. Seragamkan garis panduan di semua negeri, sama ada kuasa agama itu di bawah Sultan dan Raja-Raja atau di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri yang diketuai Yang Di-Pertua Negeri. Saya kira Jakim sebagai agensi penyelaras tidak sukar melakukannya, jika kita ada kemahuan dan semuanya menyepakati tujuan murni ini.

12. Gerakan memecah belahkan umat Islam sedang terjadi bukan sahaja di Barat dengan pelabelan tertentu, menolak cara berpakaian Islam untuk penganutnya, ada gerakan Islam liberal walaupun terang-terang bertentangan dengan firman dan hadis yang sahih sanadnya, bahkan mungkin jarum-jarum halus mereka mulai masuk secara tanpa kita sedari di tengah-tengah kalangan kita.

13. Kita di Malaysia yang terkenal dengan kebijakan dan kebijaksanaan bertindak, dipandu pula oleh tradisi agama dan budaya yang kukuh, mempunyai jalan luas lurus apabila berhadapan dengan isu-isu sedemikian rupa. Kita boleh duduk bersama, berbincang dan berbahas sesama kita, di ruang tidak terbuka demi mencari kebenaran ilmu dan keadilan untuk semua. Kumpulkan ulama, sarjana dan cendekiawan Islam dengan jumlah yang sesuai dan kita berbicara dengan rasional.

14. Sebagai orang awam, pelbagai pertanyaan bermain di kepala saya, mungkin di kalangan rakan-rakan dan anggota masyarakat yang lain. Apakah JAIS telah bertindak dengan bijak apabila Dr. Asri ditahan kerana atas alasan prosedur pentadbiran agama negeri semata-mata? Apakah Dr. Asri itu pembawa ajaran sesat yang menyeleweng daripada akidah Islamiah sebenar, sama seperti mereka yang lain yang kerap kita dengar dan ketahui? Samakah Dr. Asri itu dengan seorang Ayah Pin atau Rasul Melayu atau pimpinan al-Arqam?

15. Sebaliknya pula sekiranya isu tauliah menjadi masalah, maka tetapkan garis panduan khusus bagi pendakwah seperti beliau. Mungkin ada batas audiens kerana faham ilmiah antara seseorang itu berbeza, bukan semata-mata kerana pengajian tetapi latar belakang darjah fikiran dan pemikiran, kebolehan menanggapi ilmu dan keupayaan membahaskan tradisi keilmuan tinggi itu.

16. Jangan sekali-kali dibiarkan persoalan agama sebagai persoalan kuasa atau emosi, apalagi kedangkalan ilmu yang dimiliki orang awam, yakni orang seperti saya, terseret ke wilayah kebekuan intelektual umat kita sendiri dan di negara sendiri yang memandang tinggi akan tradisi ilmu dan keilmuan