Friday, October 2, 2009

MUSIBAH...PERINGATAN DARI ALLAH





1. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menyedari bahawa segala musibah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, ribut taufan, kemarau dan sebagainya merupakan peristiwa alam ‘biasa’ yang sering melanda umat manusia. Musibah seumpama ini sebahagiannya merupakan suatu fenomena alam yang telah menjadi qadhâ’ (ketentuan) Allah, yang menunjukkan bahawa Allah SWT Maha Kuasa.


“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada diri kalian sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah swt” (Surah al-Hadid [57] : 22)

Musibah seperti ini bukanlah azab (hukuman) dari Allah swt ke atas manusia. Berbanding umat-umat terdahulu seperti umat Nabi Nuh dan Nabi Luth, azab Allah swt bagi umat akhir zaman (umat nabi Muhammad saw) akan diterima diakhirat kelak bagi semua manusia yang melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada-NYA.


2. Akan tetapi, boleh jadi, musibah seumpama ini merupakan ‘ujian’ dari Allah swt untuk menguji tahap kesabaran dan sejauh mana tahap ketakwaan manusia.


“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah [2]: 155- 156).

3. Di sinilah pentingnya kita, khususnya Umat Islam yang menjadi korban gempa bumi, rebut taufan dan banjir senantiasa bersabar dan pasrah sepenuhnya atas qadhâ’ (ketentuan) Allah swt. Anggaplah ini sebagai ‘cubaan’ dan ‘ujian’ dari Allah swt untuk menguji kesabaran dan ketaqwaan kita. Kita seharus yakin bahawa Allah swt senantiasa mencintai orang-orang yang sabar, bahkan Allah selalu bersama dengan orang-orang yang sabar .

4. Bagi Umat Islam yang tidak ditimpa musibah ini, kita seharusnya dapat meringankan beban mereka yang ditimpa dengan memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk mengikut kemampuan masing-masing atas dasar nilai kemanusiaan dan membantu sesama muslim.


5. Sementara itu, sebahagian musibah lainnya adalah akibat tangan-tangan manusia yang senantiasa gemar melakukan kerosakan di muka bumi ini. Musibah seumpama ini lebih merupakan ‘peringatan’ bagi umat manusia baik yang mukmin mahupun yang kafir yang selama ini melanggar perintah Allah SWT agar mereka kembali ke jalan-Nya.


“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Surah ar-Rum [30]: 41).

6. Menurut Imam Jalalain dan Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan bimâ kasabat aydînnâ (akibat perbuatan tangan manusia...) adalah perbuatan-perbuatan maksiat/kerosakan. Ertinya, pelbagai kerosakan di darat dan di laut yang menimpa manusia adalah akibat kemaksiatan/kerosakan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Di samping itu, musibah juga boleh terjadi dalam bentuk kesempitan hidup yang sejak akhir-akhir ini dialami oleh umat manusia, khususnya kaum Muslimin. ‘Musibah’ seumpama ini lebih merupakan teguran’ sekaligus ‘ancaman’ ketika manusia yang berpaling dari peringatan-Nya.


“Siapa sahaja yang berpaling dari peringatan-Ku (al-Quran), maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta” (Surah Thaha [20]: 124).

7. Setiap 'musibah' yang melanda sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan kita, bahwa telah tiba saatnya untuk kita bertaubat kepada Allah SWT. Sebab, sebahagian besar musibah yang menimpa kita adalah akibat kurangnya kita menta’ati Allah swt dan bahkan mencampakkan syariat-NYA. Ini kerana kemaksiatan terbesar yang kita lakukan adalah kita telah berpaling dari peringatan Allah swt, yakni dengan mencampakkan syariat-Nya, maka taubat kita yang terbesar lagi sejati adalah kita kembali kepada syariat-Nya secara menyeluruh. Iaitu menjadikan Islam sebagai sistem yang mengatur hidup kita secara menyeluruh (bermasyarakat dan bernegara)

8. Justeru, sekiranya kita ditimpa musibah, kita hendaklah menyedari bahawa yang memberikan musibah itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih. Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita. Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.