Monday, October 19, 2009

JANJI DIKOTA...UBAH SEBELUM REBAH






1. Berhimpun sudah...bersidang sudah, berbahas pun sudah bahkan segala-galanya pun sudah belaka. Perhimpunan Agung UMNO yang baru melabuhkan tirainya telah melakukan satu tindakan yang agak berani dengan melakukan banyak pindaan perlembagaan partinya. Semua ini dilakukan demi kelangsungan perjuangan Parti UMNO terus relevan dan kewujudannya tetap dirasai serta dimengerti oleh orang kebanyakkan.

2. Lantaran, perhimpunan UMNO kali ini telah memberi suntikan dan roh baru kepada perjuangan UMNO yang telah menerima tamparan maut semasa PRU ke-12, 2008. Kebangkitan parti-parti pembangkang mutakhir ini telah merisaukan dan menenggelamkan aura parti UMNO yang selama ini menjadi parti keramat buat orang Melayu.

3. Ucapan penuh semangat ibarat letusan gunung berapi yang dimutahkan oleh Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan sulung pembukaan persidangan UMNO baru-baru ini memberikan satu inspirasi baru kepada parti UMNO dan ahli-ahlinya. Sesiapa sahaja yang hadir atau mendengar ucapan sulungnya pasti terpesona lantaran auranya sampai menusuk jantung. Seolah-olah DS Najib, ibarat Sang Panglima Perang sedang memberikan amanat terakhir kepada bala tenteranya untuk berperang menghadapi musuh.

4. Penulis yang ketika itu berada di dalam PWTC sempat merasai susana gegak gempita para perwakilan yang memberikan respond yang agak luar biasa terhadap ucapan sulung presiden UMNO. Penilaian ringkas yang boleh dikongsi bersama, betapa mejoriti perwakilan dan ahli-ahli UMNO yang hadir dalam perhimpunan tersebut mahukan perubahan dan perlu di terjemahkan dengan seikhlas hati.

5. Amatan penulis, perubahan dan pindaan yang telah dibuat amat dialu-alukan. Apa yang dilakukan oleh Parti UMNO sememangnya menepati aspirasi mejoriti jutaan ahlinya. Dengan harapan, budaya atau penyakit yang telah menjadi darah daging "politik wang @ rasuah politik" yang sentiasa berleluasa ketika pemilihan pucuk pimpinan parti akan berkubur sirna di telan zaman.

6. Jauh di sudut hati penulis, betapa cantik atau moleknya perubahan dan pindaan perlembagaan UMNO yang telah dibuat. Ianya takkan membawa makna walau seinci pun kepada Parti UMNO seandainya jutaan ahli UMNO sendiri tidak berubah. Jika Perlembagaan parti sahaja berubah atau dipinda tanpa disusuli dengan perubahan sikap dan mentaliti pemimpin @ ahli UMNO terhadap "politik wang @ rasuah politik", pasti kehancuran dan kebinasaan sedang ditempah.

7. Sedari sepanjang perhimpunan itu berlangsung, ucapan berapi-api yang dilontarkan oleh para pembahas amat memukau dan menarik perhatian perwakilan dan pemerhati. pelbagai usul dan teguran telah disampaikan dalam pelbagai gaya persembahan. Namun, tersemat dalam hati penulis... para pembahas kurang menumpukan atau mengaitkan pindaan perlembagaan parti itu kepada persoalan, Bagaimana mengukuhkan jati diri ahli-ahli UMNO, pembinaan modal insan, menjadikan akhlak dan moral sebagai teras kepimpinan dan yang lebih penting bagaimana Islam sebagai landasan dan tunjang dalam perjuangan.

8. Parti UMNO yang mejoriti ahlinya orang Melayu yang beragama Islam... Berubahlah bukan setakat meminda atau menambah ayat, mengubah tulisan atau mengurangkan angka yang terkandung dalam perlembagaan parti UMNO. Tetapi berubah dalam erti kata yang sebenar. Akhlak berpandu pada ajaran Islam yang sebenar, Tindakan bersumber Musyawarah yang terhormat, Perancangan bermatlamatkan hasanah di akhirat dan Kepimpinan contohi keperibadian Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya.

9. UMNO...ubah sebelum rebah. Sudah pasti ahli-ahlinya perlu diberi suntikan keramat, bukan setakat diberi kata-kata semangat atau ucapan yang berapi-api. Bagi saya, kekuatan dalaman dan jatidiri perlu diperkasakan berpaksikan ajaran Islam yg sebenar. Sebab itu budaya ilmu perlu disuburkan semula melalui pelbagai cara antaranya, wujudkan kumpulan-kumpulan usrah di setiap cawangan yang akan berkumpul sekali seminggu. Jadikannya sebagai satu budaya dan amalan kerana disitu lahirnya nilai-nilai kekeluargaan, keharmonian dan proses pentarbiahan yang unggul.

10. Masa untuk parti, barisan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk berubah masih terbentang luas. Cuma, masa akan terus berlalu dan pergi tanpa menghiraukan sesiapapun yang tidak menghargai ruang dan peluang yang diberikan oleh masa. Setiap usul, pindaan dan komentar yang dibuat ketika perhimpunan perlu diterjemahkan dalam bentuk yang sebenar. Halatuju perjuangan perlu berlandaskan dan ditunjangi ajaran Islam yang sebenar agar natijahnya menjadi kebanggaan oleh seluruh rakyat Malaysia.... JANJI DI KOTA, UBAH SEBELUM REBAH!!!