Friday, October 23, 2009

APABILA AMANAH DIKHINATI...




BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

MINGGU ini kita dihidangkan Laporan Ketua Audit Negara 2008. Seperti laporan bagi tahun-tahun sebelumnya, ia masih mengesan kes-kes pembelian atau pembekalan barangan atau alatan kepada agensi-agensi tertentu pada harga yang tidak munasabah.

Kes komputer riba yang dibeli pada harga RM84,640 seunit berbanding harga pasaran terbuka bagi jenis dan model yang sama RM9,000; peralatan makmal telekomunikasi yang dibeli pada harga berbeza antara RM1,240 dan RM30,510 seunit sedangkan harga di pasaran hanya RM900 seunit; dan kes bayaran bagi petrol pada kadar RM300 seliter berbanding harga pasaran tidak pun sampai RM2 seliter, adalah antara contohnya.

Ia menggambarkan wujud kelemahan yang memberi kesan kepada perbelanjaan wang kerajaan; yang perlu diambil tindakan segera.

Sungguhpun kes-kes luar biasa itu dari segi peratusannya adalah rendah berbanding dengan kos pembekalan peralatan kepada jabatan atau agensi kerajaan, ia tetap tidak boleh dipandang ringan. Tindakan pembetulan perlu dilakukan dengan memastikan mereka yang diamanahkan perlu mengambil tanggungjawab tersebut.

Jika kita memberi penghargaan kepada kakitangan kerajaan yang menunjukkan prestasi cemerlang; tindakan perlulah diambil ke atas mereka yang gagal dalam kerja mereka.

Ulasan:

1. Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah iaitu kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).

2. Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman adalah orang yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.

3. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

4. Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara- perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.

5. Jadikan Rasulullah S.A.W sebagai model dalam urusan pekerjaan. Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda). Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat ganda kepada perniagaan Khadijah.

6. Justeru, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlu memenuhi dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

7. Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh pekerja kepada organisasi. Begitu pun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.

8. Amanah dalam bekerja meliputi skop- skop sebagaimana berikut:

* Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya;

* Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan;

* Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri daripada mengatasi kepentingan tugas; dan

* Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.