Thursday, November 12, 2009

ANWAR IBRAHIM: STRATEGI POLITIK YANG BANGSAT



1. Kalau sudah kemaruk hendak berkuasa, mereka sanggup lakukan apa saja biarpun taktik kotor. Agak pelik memikirkan sikap sebuah parti pembangkang negara ini yang tidak habis-habis melakukan gerakan politik.

2. Kita tidak terkejut pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin tentang mesyuarat Majlis Tertinggi PKR apabila penasihat parti itu mentarbiah ahli-ahlinya supaya merancang strategi baru menyerang peribadi Perdana Menteri.

3. Mungkin itu sahaja langkah yang Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu. Langkah itu dilihat bukan strategi lelaki budiman untuk merampas kerusi Perdana Menteri.Tetapi lebih dilihat sebagai ketandusan dan kemandulan strategi politik yang semakin memalit dalam Pakatan Rakyat.

4. Bukan rakyat tidak maklum kedudukan Anwar yang sedang berhadapan dengan kes perbicaraan mahkamahnya yang asyik ditangguhkan. Malahan, tidak dapat disorokkan lagi episod tsunami kepimpinan PKR apabila kalangan pemimpin parti itu secara terbuka mengkritik kepimpinan Anwar. Dan satu persatu pemimpin tertinggi parti dan wakil rakyatnya meninggalkan PKR. Kini terbukti, style kepimpinan Anwar yang banyak menyerang peribadi musuh politiknya telah memakan diri.

5. Tetapi hakikat sebenarnya, inilah taktik Anwar untuk mengalih perhatian daripada pelbagai kemelut peribadi dan masalah dalaman PKR yang diterajuinya. Penyokong PKR akan berasa seronok apabila mendapat suntikan baru daripada Anwar untuk memburuk-burukkan peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak. Apabila politik "matlamat menghalalkan cara" untuk mencapai kerakusan pangkat dan kuasa, natijahnya dapat dilihat di depan mata masyarakat umum.

7. Di bawah kepimpinan Najib, negara kita sedang pulih daripada krisis ekonomi global. Beliau juga berusaha keras turun padang menemui rakyat dan mengembalikan keyakinan masyarakat berbilang kaum kepada kerajaan.Iltizam Perdana Menteri ini perlu disokong dan inilah semangat 1Malaysia yang menjadi azimat untuk memperkasa ummat.

9. Bukan satu kerja mudah untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan memulihkan hubungan kaum setelah diapi-apikan oleh pakatan pembangkang. Syukur, Malaysia kini kembali menemui rentak dalam semua bidang baik sosio-ekonomi mahupun sosio-budaya. Usah kita sia-siakan pembaharuan dan perubahan dalam gagasan 1Malaysia.

11. Berhati-hatilah apabila tiba-tiba timbul desas-desus atau cerita karut mengenai Perdana Menteri. Cepat-cepatlah kita tepis. Jangan mudah dipercayai cerita tersebut jika sumbernya daripada pihak yang diragui, apatah lagi daripada konco-konco PKR.

12. Apa yang sudah kita perhatikan sejak Mac 2008 hingga Oktober lalu, usah diteruskan. Biarkan Anwar dan ahli-ahli PKR mendendangkan cerita konspirasi sebagai penglipurlara untuk mereka syok sendiri. Pemikiran rakyat perlu ditumpukan kepada usaha-usaha untuk memajukan diri dan negara.

Tuesday, November 3, 2009

PELIK BIN AJAIB.....APABILA JAIS MENANGKAP ULAMA




1. Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentu memeranjatkan banyak pihak. Alasan yang diberi, disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

2. Penahanannya pula berlaku di sebuah rumah persendirian di Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur, waktu tengah malam sesudah tamat kuliah dan orang ramai telah meninggalkan kediaman berkenaan.

3. Saya aneh tentang dua perkara. Pertama, Dr. Asri dikatakan mengajar tanpa tauliah. Kedua, timbul pula tohmahan dan tuduhan mengatakan Dr. Asri menyebarkan ajaran atau gerakan Wahabi dan dikatakan beliau menolak, maknanya tidak mengiktiraf pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

4. Itulah sesuatu yang beliau sendiri nafikan tidak seperti dakwaan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) dalam memorandum mereka bertarikh 12 Oktober kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

5. Situasi begini yang menimpa Dr. Asri itu akan mengelirukan masyarakat, lebih-lebih lagi umat Islam.

6. Aneh sungguh, seorang yang bertaraf mufti, berpengajian tinggi sehingga memiliki ijazah kedoktoran di bidang pengajian al-Quran dan kepakaran Hadis, sewenang-wenangnya diperlakukan sama dengan orang yang tidak berilmu, orang jahil atau tidak ubah disamakan seperti Ayah Pin atau Rasul Melayu atau mana-mana ajaran sesat yang lain.

7. Soal tauliah sepatutnya tidak timbul. Apakah patut seseorang yang bertaraf mufti, lengkap ilmu agama dan pengetahuannya, tidak layak ditauliahkan atau masih memerlukan tauliah?

8. Saya percaya, sebagai mantan mufti, beliau ada memiliki tauliah, sekurang-kurang yang dikeluarkan di Perlis. Tetapi akibat kita ada pelbagai peringkat kuasa agama, maka pentauliahan dan penguatkuasaannya menjadi tidak sama hak dan terhad berdasarkan wilayah kuasa tadi.

9. JAIS dan mana-mana Majlis Agama Islam Negeri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), perlu duduk semeja, segera yang mungkin. Mereka perlu cari jalan sepakat, bermuafakat dan menggubal garis panduan sebenar bagi seseorang yang layak untuk menjadi pensyarah atau mengajar agama.

10. Mungkin peraturan yang ada selama ini sudah usang atau lapuk dan perlu diperbaharui.

11. Seragamkan garis panduan di semua negeri, sama ada kuasa agama itu di bawah Sultan dan Raja-Raja atau di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri yang diketuai Yang Di-Pertua Negeri. Saya kira Jakim sebagai agensi penyelaras tidak sukar melakukannya, jika kita ada kemahuan dan semuanya menyepakati tujuan murni ini.

12. Gerakan memecah belahkan umat Islam sedang terjadi bukan sahaja di Barat dengan pelabelan tertentu, menolak cara berpakaian Islam untuk penganutnya, ada gerakan Islam liberal walaupun terang-terang bertentangan dengan firman dan hadis yang sahih sanadnya, bahkan mungkin jarum-jarum halus mereka mulai masuk secara tanpa kita sedari di tengah-tengah kalangan kita.

13. Kita di Malaysia yang terkenal dengan kebijakan dan kebijaksanaan bertindak, dipandu pula oleh tradisi agama dan budaya yang kukuh, mempunyai jalan luas lurus apabila berhadapan dengan isu-isu sedemikian rupa. Kita boleh duduk bersama, berbincang dan berbahas sesama kita, di ruang tidak terbuka demi mencari kebenaran ilmu dan keadilan untuk semua. Kumpulkan ulama, sarjana dan cendekiawan Islam dengan jumlah yang sesuai dan kita berbicara dengan rasional.

14. Sebagai orang awam, pelbagai pertanyaan bermain di kepala saya, mungkin di kalangan rakan-rakan dan anggota masyarakat yang lain. Apakah JAIS telah bertindak dengan bijak apabila Dr. Asri ditahan kerana atas alasan prosedur pentadbiran agama negeri semata-mata? Apakah Dr. Asri itu pembawa ajaran sesat yang menyeleweng daripada akidah Islamiah sebenar, sama seperti mereka yang lain yang kerap kita dengar dan ketahui? Samakah Dr. Asri itu dengan seorang Ayah Pin atau Rasul Melayu atau pimpinan al-Arqam?

15. Sebaliknya pula sekiranya isu tauliah menjadi masalah, maka tetapkan garis panduan khusus bagi pendakwah seperti beliau. Mungkin ada batas audiens kerana faham ilmiah antara seseorang itu berbeza, bukan semata-mata kerana pengajian tetapi latar belakang darjah fikiran dan pemikiran, kebolehan menanggapi ilmu dan keupayaan membahaskan tradisi keilmuan tinggi itu.

16. Jangan sekali-kali dibiarkan persoalan agama sebagai persoalan kuasa atau emosi, apalagi kedangkalan ilmu yang dimiliki orang awam, yakni orang seperti saya, terseret ke wilayah kebekuan intelektual umat kita sendiri dan di negara sendiri yang memandang tinggi akan tradisi ilmu dan keilmuan

Friday, October 23, 2009

APABILA AMANAH DIKHINATI...




BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

MINGGU ini kita dihidangkan Laporan Ketua Audit Negara 2008. Seperti laporan bagi tahun-tahun sebelumnya, ia masih mengesan kes-kes pembelian atau pembekalan barangan atau alatan kepada agensi-agensi tertentu pada harga yang tidak munasabah.

Kes komputer riba yang dibeli pada harga RM84,640 seunit berbanding harga pasaran terbuka bagi jenis dan model yang sama RM9,000; peralatan makmal telekomunikasi yang dibeli pada harga berbeza antara RM1,240 dan RM30,510 seunit sedangkan harga di pasaran hanya RM900 seunit; dan kes bayaran bagi petrol pada kadar RM300 seliter berbanding harga pasaran tidak pun sampai RM2 seliter, adalah antara contohnya.

Ia menggambarkan wujud kelemahan yang memberi kesan kepada perbelanjaan wang kerajaan; yang perlu diambil tindakan segera.

Sungguhpun kes-kes luar biasa itu dari segi peratusannya adalah rendah berbanding dengan kos pembekalan peralatan kepada jabatan atau agensi kerajaan, ia tetap tidak boleh dipandang ringan. Tindakan pembetulan perlu dilakukan dengan memastikan mereka yang diamanahkan perlu mengambil tanggungjawab tersebut.

Jika kita memberi penghargaan kepada kakitangan kerajaan yang menunjukkan prestasi cemerlang; tindakan perlulah diambil ke atas mereka yang gagal dalam kerja mereka.

Ulasan:

1. Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah iaitu kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).

2. Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman adalah orang yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.

3. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

4. Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara- perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.

5. Jadikan Rasulullah S.A.W sebagai model dalam urusan pekerjaan. Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda). Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat ganda kepada perniagaan Khadijah.

6. Justeru, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlu memenuhi dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

7. Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh pekerja kepada organisasi. Begitu pun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.

8. Amanah dalam bekerja meliputi skop- skop sebagaimana berikut:

* Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya;

* Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan;

* Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri daripada mengatasi kepentingan tugas; dan

* Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.

Monday, October 19, 2009

JANJI DIKOTA...UBAH SEBELUM REBAH






1. Berhimpun sudah...bersidang sudah, berbahas pun sudah bahkan segala-galanya pun sudah belaka. Perhimpunan Agung UMNO yang baru melabuhkan tirainya telah melakukan satu tindakan yang agak berani dengan melakukan banyak pindaan perlembagaan partinya. Semua ini dilakukan demi kelangsungan perjuangan Parti UMNO terus relevan dan kewujudannya tetap dirasai serta dimengerti oleh orang kebanyakkan.

2. Lantaran, perhimpunan UMNO kali ini telah memberi suntikan dan roh baru kepada perjuangan UMNO yang telah menerima tamparan maut semasa PRU ke-12, 2008. Kebangkitan parti-parti pembangkang mutakhir ini telah merisaukan dan menenggelamkan aura parti UMNO yang selama ini menjadi parti keramat buat orang Melayu.

3. Ucapan penuh semangat ibarat letusan gunung berapi yang dimutahkan oleh Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan sulung pembukaan persidangan UMNO baru-baru ini memberikan satu inspirasi baru kepada parti UMNO dan ahli-ahlinya. Sesiapa sahaja yang hadir atau mendengar ucapan sulungnya pasti terpesona lantaran auranya sampai menusuk jantung. Seolah-olah DS Najib, ibarat Sang Panglima Perang sedang memberikan amanat terakhir kepada bala tenteranya untuk berperang menghadapi musuh.

4. Penulis yang ketika itu berada di dalam PWTC sempat merasai susana gegak gempita para perwakilan yang memberikan respond yang agak luar biasa terhadap ucapan sulung presiden UMNO. Penilaian ringkas yang boleh dikongsi bersama, betapa mejoriti perwakilan dan ahli-ahli UMNO yang hadir dalam perhimpunan tersebut mahukan perubahan dan perlu di terjemahkan dengan seikhlas hati.

5. Amatan penulis, perubahan dan pindaan yang telah dibuat amat dialu-alukan. Apa yang dilakukan oleh Parti UMNO sememangnya menepati aspirasi mejoriti jutaan ahlinya. Dengan harapan, budaya atau penyakit yang telah menjadi darah daging "politik wang @ rasuah politik" yang sentiasa berleluasa ketika pemilihan pucuk pimpinan parti akan berkubur sirna di telan zaman.

6. Jauh di sudut hati penulis, betapa cantik atau moleknya perubahan dan pindaan perlembagaan UMNO yang telah dibuat. Ianya takkan membawa makna walau seinci pun kepada Parti UMNO seandainya jutaan ahli UMNO sendiri tidak berubah. Jika Perlembagaan parti sahaja berubah atau dipinda tanpa disusuli dengan perubahan sikap dan mentaliti pemimpin @ ahli UMNO terhadap "politik wang @ rasuah politik", pasti kehancuran dan kebinasaan sedang ditempah.

7. Sedari sepanjang perhimpunan itu berlangsung, ucapan berapi-api yang dilontarkan oleh para pembahas amat memukau dan menarik perhatian perwakilan dan pemerhati. pelbagai usul dan teguran telah disampaikan dalam pelbagai gaya persembahan. Namun, tersemat dalam hati penulis... para pembahas kurang menumpukan atau mengaitkan pindaan perlembagaan parti itu kepada persoalan, Bagaimana mengukuhkan jati diri ahli-ahli UMNO, pembinaan modal insan, menjadikan akhlak dan moral sebagai teras kepimpinan dan yang lebih penting bagaimana Islam sebagai landasan dan tunjang dalam perjuangan.

8. Parti UMNO yang mejoriti ahlinya orang Melayu yang beragama Islam... Berubahlah bukan setakat meminda atau menambah ayat, mengubah tulisan atau mengurangkan angka yang terkandung dalam perlembagaan parti UMNO. Tetapi berubah dalam erti kata yang sebenar. Akhlak berpandu pada ajaran Islam yang sebenar, Tindakan bersumber Musyawarah yang terhormat, Perancangan bermatlamatkan hasanah di akhirat dan Kepimpinan contohi keperibadian Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya.

9. UMNO...ubah sebelum rebah. Sudah pasti ahli-ahlinya perlu diberi suntikan keramat, bukan setakat diberi kata-kata semangat atau ucapan yang berapi-api. Bagi saya, kekuatan dalaman dan jatidiri perlu diperkasakan berpaksikan ajaran Islam yg sebenar. Sebab itu budaya ilmu perlu disuburkan semula melalui pelbagai cara antaranya, wujudkan kumpulan-kumpulan usrah di setiap cawangan yang akan berkumpul sekali seminggu. Jadikannya sebagai satu budaya dan amalan kerana disitu lahirnya nilai-nilai kekeluargaan, keharmonian dan proses pentarbiahan yang unggul.

10. Masa untuk parti, barisan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk berubah masih terbentang luas. Cuma, masa akan terus berlalu dan pergi tanpa menghiraukan sesiapapun yang tidak menghargai ruang dan peluang yang diberikan oleh masa. Setiap usul, pindaan dan komentar yang dibuat ketika perhimpunan perlu diterjemahkan dalam bentuk yang sebenar. Halatuju perjuangan perlu berlandaskan dan ditunjangi ajaran Islam yang sebenar agar natijahnya menjadi kebanggaan oleh seluruh rakyat Malaysia.... JANJI DI KOTA, UBAH SEBELUM REBAH!!!

Tuesday, October 13, 2009

ISA - TUNAI JANJI, PIKUL AMANAH, MASA UNTUK BERKERJA

"Tahniah Tan Sri Mohd Isa Samad"

1. Lazimnya, reaksi awal para pemimpin yang dilantik memegang sesuatu jawatan atau yang menang dalam sesuatu pertandingan ialah ungkapan "saya berjanji akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu dengan sebaik- baik mungkin."

2. Dalam Islam, amanah merupakan satu perkara yang sangat penting dan amat dititikberatkan dalam kehidupan seseorang kerana ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar pada amanah yang diletakkan ke atas dirinya.

3. Manusia tidak boleh lari atau melepaskan dirinya daripada menunaikan amanah yang telah diberi kepadanya. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan.

4. Oleh itu, sikap para pemimpin itu sendiri yang menganggap kepimpinan tidak lagi di letakkan sebagai amanah dari Allah tetapi melihatnya sebagai satu kemegahan dan kemasyhuran (populariti) telah mengundang musibah yang mengaibkan.

5. Justeru, janganlah kiranya masalah kepimpinan itu dipandang ringan, jangan sekali-kali ada di antara kita terlalu ghairah untuk menjadi pemimpin dan menganggap kepimpinan itu mengundang tasyrif iaitu untuk dimuliakan, diagungkan dan disanjung-sanjung. Malah kepimpinan juga dianggap mengundang kekayaan serta kemewahan hidup.

6. Yang lebih penting, kita perlu membetulkan persepsi bahawa kepimpinan bukanlah tasyrif, tetapi kepimpinan itu adalah taklif atau bebanan yang bakal dipersoalkan di mahkamah Allah SWT di akhirat kelak.

7. Marilah kita merenungi dan mengingati pesanan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang masyhur bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu." Kepada Tan Sri ISA, anda kena tunai janji, pikul amanah dan sekarang masa untuk berkerja- Rakyat Perlu di Utamakan.

Thursday, October 8, 2009

MALAYSIA "DISERANG" HARI INI..?




Membaca akhbar utusan hari ini, terpandang satu tajuk kecil "Malaysia diserang hari ini?".

1. Kononnya segelintit rakyat Indonesia yang menggelarkan diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) akan menyerang Malaysia hari ini. Menurut laporan 300 orang Indonesia yang mempunyai ilmu kebal akan menyerang Malaysia melalui Pontianak dan Nunukan di Borneo.

2. Kalau nak ikutkan perasaan sudah tentu, kita juga boleh mendesak semua pertubuhan mempertahankan diri di negara ini menunjukkan kekuatan mereka untuk bersedia berperang dengan Indonesia. Kita boleh minta media asing paparkan bagaimana ahli-ahli silat Malaysia berlatih.

3. Tetapi pemikiran rakyat Malaysia tidaklah secetek sesetengah pihak di Indonesia. Kita masih waras dan lebih mementingkan penyelesaian masalah melalui rundingan, biarpun sesuatu isu yang tercetus bukan salah kita.

4. Lihatlah apa yang sedang berlaku di Padang Indonesia, tanpa di minta, tanpa dipaksa dan dengan rasa bertanggungjawab atas dasar kemanusiaan dan rumpun sebangsa seislam. Rakyat Malaysia dengan penuh ihsan menyalurkan bantuan dalam pelbagi bentuk sungguhpun ada segelintir rakyat Indonesia yang langsung tidak menghargainya.

5. Apa yang pasti secara faktanya, rakyat Indonesia lebih memerlukan Malaysia. Kita juga yakin bahawa rakyat Indonesia yang bertungkus lumus mencari rezeki di negara ini, berasa bosan dengan gelagat rakan mereka di negara sendiri. Kita tidak akan sengsara kalau apa-apa berlaku dalam hubungan antara kedua-dua negara kerana Malaysia adalah lubuk emas rezeki bagi rakyat Indonesia.

6. Namun kita tidak perlu bertindak balas kecualilah kedaulatan dan maruah kita dicabul. Biarlah puak-puak yang tidak matang dan belum disunatkan lagi di Indonesia itu dengan gelagat kebudak-budakan mereka.

Wednesday, October 7, 2009

DR.MAZA KETUAI SATU ORGANISASI DAKWAH...???



"Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih dahulu akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO".

Petikan di atas adalah secebis ringkas yang diambil dalam tulisan drmaza di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4/10/09, selanjutnya sila layari http://drmaza.com

1. Secara ringkasnya, saya amat bersetuju dengan pandangan ikhlas drmaza berhubung pengukuhan roh Islam dan perlunya parti UMNO kembali kepada asas perjuangan Islam yg sebenar. Saya secara peribadi berpandangan, parti UMNO sebenarnya lebih menonjolkan agenda perjuangan bangsa iaitu KEMELAYUAN dan Islam hanya dijadikan sebagai penghias dalam kerangka perjuangan mereka.

2. Sebagai golongan muda, saya amat menyedari bahawa kebangkitan atau penerimaan golongan muda yang banyak memihak kepada parti pembangkang khususnya gerakan Islam yang dibawa oleh PAS adalah disebabkan agenda perjuangan Islam yang dibawa oleh mereka. Memang tidak dinafikan, parti UMNO sendiri mempunyai program-program keislaman yang dianjurkan tetapi penganjurannya hanyalah bersifat bermusim dan hanya memenuhi agenda parti sahaja. Jauh sekali pembudayaan Islam itu dijadikan sebagai teras dalam kehidupan seharian.

3. Berbeza dengan parti PAS, dalam setiap masa dan ketika Islam adalah teras dan tunjang perjuangannya. Saya mengambil contoh, dari pimpinan tertinggi hinggalah ke pemimpin bawahan semuanya berimejkan Islam. Bukan itu sahaja, setiap pemimpin mereka sentiasa memenuhi jemputan dan berlegar keseluruh negara untuk menyampaikan kuliah atau tazkirah sama ada subuh, siang atau malam. Inilah roh atau semangat Islam yang ditonjolkan oleh Parti PAS dan kesungguhan mereka untuk menyampaikan risalah Islam tanpa jemu dan letih patut di ikuti oleh parti UMNO.

4. Berbalik kepada tulisan drmaza, saya begitu optimis yang beliau pun mempunyai keinginan yang begitu kuat untuk melihat parti UMNO ini kembali kepada teras perjuangan Islam yang sebenar seterusnya dibudayakan di kalangan ahli-ahlinya. Ruang dan kekuatan UMNO untuk mengukuhkan perjuangan Islamnya belum terlambat cuma memerlukan keazaman, kebangkitan dan keupayaan yang kental bermula dari peringkat kepimpinan tertinggi.

5. Saya merasakan drmaza mempunyai keupayaan dan boleh diberikan ruang oleh parti UMNO untuk menyusun dan merangka program-program keislaman yang bersepadu dan berterusan agar pembudayaan Islam dalam parti UMNO terus meresap dalam jiwa dan kehidupan mereka. Saranan ini bukan bererti drmaza perlu masuk atau menjadi ahli UMNO tetapi kita perlu menghargai dan mengambil peluang nasihat, panduan serta sifat keterbukaan yang beliau tonjolkan. Sebagaimana tulisan drmaza,

"Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis".

6. Sebagai tokoh ilmuan muda Islam yang dinamik dan progresif, saya amat bersetuju seandainya drmaza diberikan tempat atau platform dalam mana-mana organisasi dakwah atau pertubuhan Islam di negara ini untuk meneruskan agenda perjuangan dakwahnya di Malaysia. Walaupun tanpa platform tersebut, beliau masih boleh meneruskan agenda dakwahnya tetapi berbeza seandainya drmaza mengetui sesuatu organisasi dakwah ataupun pertubuhan Islam.

7. Dalam hal ini, saya merasakan kerajaan menerusi sokongan Perdana Menteri akan menimbang dan memperhalusi perlantikan drmaza bagi mengetuai salah satu organisasi dakwah Islamiah di negara ini sebagaimana perlantikan drmaza sebagai Mufti Perlis suatu ketika dahulu. Saya amat yakin, dengan ketokohan dan pemikiran Islam drmaza yang progresif dan dinamik ini, boleh di manfaatkan secara langsung oleh pihak kerajaan dan parti UMNO khususnya.

Friday, October 2, 2009

MUSIBAH...PERINGATAN DARI ALLAH





1. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menyedari bahawa segala musibah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, ribut taufan, kemarau dan sebagainya merupakan peristiwa alam ‘biasa’ yang sering melanda umat manusia. Musibah seumpama ini sebahagiannya merupakan suatu fenomena alam yang telah menjadi qadhâ’ (ketentuan) Allah, yang menunjukkan bahawa Allah SWT Maha Kuasa.


“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada diri kalian sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah swt” (Surah al-Hadid [57] : 22)

Musibah seperti ini bukanlah azab (hukuman) dari Allah swt ke atas manusia. Berbanding umat-umat terdahulu seperti umat Nabi Nuh dan Nabi Luth, azab Allah swt bagi umat akhir zaman (umat nabi Muhammad saw) akan diterima diakhirat kelak bagi semua manusia yang melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada-NYA.


2. Akan tetapi, boleh jadi, musibah seumpama ini merupakan ‘ujian’ dari Allah swt untuk menguji tahap kesabaran dan sejauh mana tahap ketakwaan manusia.


“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah [2]: 155- 156).

3. Di sinilah pentingnya kita, khususnya Umat Islam yang menjadi korban gempa bumi, rebut taufan dan banjir senantiasa bersabar dan pasrah sepenuhnya atas qadhâ’ (ketentuan) Allah swt. Anggaplah ini sebagai ‘cubaan’ dan ‘ujian’ dari Allah swt untuk menguji kesabaran dan ketaqwaan kita. Kita seharus yakin bahawa Allah swt senantiasa mencintai orang-orang yang sabar, bahkan Allah selalu bersama dengan orang-orang yang sabar .

4. Bagi Umat Islam yang tidak ditimpa musibah ini, kita seharusnya dapat meringankan beban mereka yang ditimpa dengan memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk mengikut kemampuan masing-masing atas dasar nilai kemanusiaan dan membantu sesama muslim.


5. Sementara itu, sebahagian musibah lainnya adalah akibat tangan-tangan manusia yang senantiasa gemar melakukan kerosakan di muka bumi ini. Musibah seumpama ini lebih merupakan ‘peringatan’ bagi umat manusia baik yang mukmin mahupun yang kafir yang selama ini melanggar perintah Allah SWT agar mereka kembali ke jalan-Nya.


“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Surah ar-Rum [30]: 41).

6. Menurut Imam Jalalain dan Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan bimâ kasabat aydînnâ (akibat perbuatan tangan manusia...) adalah perbuatan-perbuatan maksiat/kerosakan. Ertinya, pelbagai kerosakan di darat dan di laut yang menimpa manusia adalah akibat kemaksiatan/kerosakan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Di samping itu, musibah juga boleh terjadi dalam bentuk kesempitan hidup yang sejak akhir-akhir ini dialami oleh umat manusia, khususnya kaum Muslimin. ‘Musibah’ seumpama ini lebih merupakan teguran’ sekaligus ‘ancaman’ ketika manusia yang berpaling dari peringatan-Nya.


“Siapa sahaja yang berpaling dari peringatan-Ku (al-Quran), maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta” (Surah Thaha [20]: 124).

7. Setiap 'musibah' yang melanda sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan kita, bahwa telah tiba saatnya untuk kita bertaubat kepada Allah SWT. Sebab, sebahagian besar musibah yang menimpa kita adalah akibat kurangnya kita menta’ati Allah swt dan bahkan mencampakkan syariat-NYA. Ini kerana kemaksiatan terbesar yang kita lakukan adalah kita telah berpaling dari peringatan Allah swt, yakni dengan mencampakkan syariat-Nya, maka taubat kita yang terbesar lagi sejati adalah kita kembali kepada syariat-Nya secara menyeluruh. Iaitu menjadikan Islam sebagai sistem yang mengatur hidup kita secara menyeluruh (bermasyarakat dan bernegara)

8. Justeru, sekiranya kita ditimpa musibah, kita hendaklah menyedari bahawa yang memberikan musibah itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih. Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita. Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.


Wednesday, September 30, 2009

"ISA Masih Diperlukan"




1. Pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang telah dibuat dan ianya merupakan pilihan yang tepat. Pemilihan Mohd. Isa juga sudah pun dijangka berdasarkan populariti beliau. Rekod penglibatan beliau, yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, dalam politik dan pilihan raya menunjukkan Mohd. Isa dapat diterima dan disokong oleh rakyat pelbagai kaum.

2. Pengumuman pemilihan Mohd. Isa oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga sudah tentu mengambil kira semua itu serta ketokohan beliau. Sepanjang karier politiknya, Mohd. Isa pernah dikritik tetapi beliau telah membuktikan dirinya seorang anggota UMNO yang tetap patuh dan setia kepada kehendak serta keputusan parti.

3. Dengan kriteria-kriteria yang dimiliki dan ada pada Mohd. Isa tersebut akan membantu dan memudahkan jentera pilihan raya BN bergerak lancar di Bagan Pinang. Pada masa sama masyarakat keseluruhannya tetap yakin rakyat di Bagan Pinang akan memberi isyarat jelas dalam menyokong BN pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini, seperti mana yang ditunjukkan pada masa-masa lepas. 'Nampaknya ISA masih diperlukan, dan jangan hapuskan ISA'.


Tuesday, September 29, 2009

BN PERLU CARI PLATFORM BARU GANTI MIC


1. Seperti yang di uar-uarkan, sebuah parti baru yang akan mewakili kaum India, Makkal Sakhti bakal dilancarkan secara rasmi penubuhannya pada 10 Oktober ini dan pada masa yang sama buat kali keenam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) akan mengulangi permintaan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

2. Selain itu kita juga tidak harus melupakan Parti Progresif India (IPF) yang sebelum ini sememangnya berhasrat untuk menjadi ahli komponen kepada BN. Berdasarkan kepada senario ini dan berikutan perkembangan politik semasa adalah jelas masanya sudah tiba untuk BN mengkaji menambah parti komponen yang mewakili kaum India. Sama ada hendak diakui atau tidak, MIC kini bukan lagi menjadi taruhan BN bagi meraih sokongan kaum India. Pencapaian yang merosot dalam pilihan raya umum lalu dan sokongan yang semakin merudum sudah membuktikan era dominasi MIC sudah berada di penghujungnya...

3. MIC tidak lagi digeruni oleh parti pembangkang sebagai parti yang boleh membolot undi masyarakat India. Sebaliknya dari semasa ke semasa, parti berkenaan semakin ditolak oleh kaum itu, biarpun MIC mendakwa mereka adalah jaguh kaum India. MIC bukan lagi parti dominan yang mewakili mejoriti kaum India dalam BN.. Kewujudan pertubuhan Hindraf, penubuhan parti Makkal Sakhti, peningkatan jumlah anggota dalam IPF pertambahan keahlian kaum India dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan terdapat pula sebahagian kecil kaum India memilih Parti Gerakan sebagai wadah perjuangan politik mereka sudah membuktikan bahawa MIC semakin kehilangan pengaruhnya.

4. Oleh itu, BN tidak boleh lagi selama-lamanya bergantung kepada MIC bagi meraih sokongan kaum India. Perkembangan politik yang berlaku sudah membuktikan bahawa sokongan kaum tersebut kepada BN akan terus merosot jika parti berkenaan hanya bergantung kepada MIC. BN perlu mencari alternatif bagi menambah atau lebih tepat lagi memulihkan sokongan kaum itu. Seperti mana kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan tidak boleh kehilangan pengaruh di kalangan masyarakat India. Atas alasan itu, maka jika Parti Makkal Sakhti diterima sebagai ahli komponen terbaru dan ditambah pula dengan kehadiran KIMMA yang mewakili kaum India Muslim, maka kekuatan BN akan bertambah.

5. Tidak usahlah BN terlalu memikirkan apa yang MIC terutama Presidennya, Datuk Seri S.Samy Vellu katakan. Apa yang lebih penting ialah survival politik BN. Akibat kegagalan MIC meraih sokonganlah yang menyebabkan pakatan pembangkang menjadi kuat apabila semakin ramai calon daripada kaum India mencatatkan kejayaan dalam pilihan raya. Semua itu berlaku kerana orang sudah muak dengan MIC, malah pendirian tegas Samy Vellu untuk terus kekal berkuasa boleh dianggap mampu memberikan liabiliti kepada BN seperti mana dikatakan oleh Dr. Mahathir sebelum ini.

6. Dalam memperkatakan soal menerima Parti Makkal Sakhti sebagai komponen BN bersama-sama KIMMA, tiada siapa pun perlu gundah gulana, apatah lagi MIC. Kalau Samy Vellu begitu yakin bahawa sokongan kaum India kepada parti pimpinannya tidak akan berubah, maka kehadiran parti baru itu tidak harus dibimbangkan. Biarlah Makkal Sakhti berusaha meraih sokongan daripada kaum India bersama-sama MIC kerana itu adalah lebih baik. Tambahan pula kalaulah kaum India menyokong salah satu parti itu, yang akan meraih keuntungan ialah BN.

7. Pada masa ini, kita harus akui bahawa MIC sedang dilanda pelbagai kemelut, selain permusuhan yang berpanjangan antara bekas Timbalan Presiden, Datuk S.Subramaniam dengan Samy Vellu, ternyata sekali MIC berada di ambang perpecahan. Kalau ia berlanjutan sudah pasti ini akan menjejaskan kekuatan BN. Justeru adalah lebih baik jika dominasi MIC sebagai satu-satu parti komponen dalam BN mewakili kaum India ditamatkan supaya segala masalah dalamannya yang berlaku tidak menyeret BN bersama-sama.

Monday, September 21, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN PENTAS POLITIK MURAHAN PAS

1. Sepanjang bulan puasa yang lalu banyak ceramah, tazkirah dan kuliah -kuliah di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor. Apa yang menyedihkan ialah kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh Pas bagi ceramah-ceramah politik mereka. Sekadar beberapa contoh, di salah satu masjid penceramah memulakan dengan kata-kata menyeru kebaikan, dapat pahala dan akhirnya masuk syurga. Bukan hendak membuat penafian, sebab itu memang ajaran agama Islam begitu. Tapi kemudian kata beliau, Pas akan buat benda baik, sokong Pas, akan dapat pahala dan akan masuk syurga.

2. satu lagi tazkirah, seorang bekas calon Pas, memberitahu pendengar, katanya Islam menang di Permatang Pasir. Habis yang menang di Penanti itu Islam ke tidak sebab yang menang ialah itu ialah calon PKR?

3. Sebenarnya inilah pegangan taksub ahli-ahli parti berkenaan, iaitu apa yang mereka buat semuanya kerana Islam, orang lain tidak Islamik dalam semua perkara. Semua orang Melayu beragama Islam, apa bezanya dengan orang Melayu dalam Pas? Siapa yang berhak menentukan bahawa Melayu yang mengikuti parti lain tidak Islam.

4. Kita melihat betapa Pas telah menggunakan isu agama untuk perpecahan sebenarnya. Dalam BN, UMNO bekerjasama dengan Cina dan India juga. Walaupun atas nama bangsa, tetapi UMNO tidak pernah bersikap tidak adil dengan bangsa-bangsa lain. BN melaksanakan juga dasar Islam dan dipersetujui oleh orang Cina dan India dari MCA atau MIC. Setakat ini, tidak timbul masalah pun.

5. Pas bekerjasama dengan PKR, DAP dan memang jelas DAP akan menentang habis-habisan apa juga pelaksanaan berkaitan agama Islam. Lihatlah perbezaannya. Belum pernah, MCA atau MIC berkata langkah mayat mereka dahulu sebelum melaksanakan dasar-dasar pemerintahan Islam. Tetapi dalam PR, sudah pun disebut perkara itu. Di mana rasionalnya Pas bekerjasama dengan DAP dan menolak perpaduan atau kerjasama dengan UMNO, sebangsa dan seagama. Apa bezanya Islam Melayu dalam UMNO dengan Islam Melayu dalam Pas?

6. Tok guru pun tidak boleh dan tidak berhak menentukan Islam Melayu dalam UMNO tidak betul atau tidak boleh pakai? Siapa Tok Guru? Tazkirah di bulan mulia digunakan untuk mengata saudara-saudara yang seagama tetapi berbeza ideologi politik.

7. Sebab itulah sepanjang masa kita akan lihat betapa Pas sibuk dengan ceramah sahaja, tetapi apa yang dibuat untuk rakyat yang memilih mereka? Hendak selesaikan masalah babi, masalah arak, masalah kuil pun tidak mampu. Apa sahaja yang BN buat semua tidak betul dan tidak Islamik. Apakah perkara betul yang Pas buat?

8. Kes kepala lembu dalam siasatan, tetapi Harakah telah memberi tajuk depan UMNO dalang di sebalik kepala lembu. Kalau belum ada bukti, ini fitnah namanya. Tidakkah ini bertentangan dengan ajaran Islam. Lihat sahaja dalam beberapa perkara terlalu banyak tuduhan dan fitnah Pas dan PR melalui Harakah ke atas pemimpin-pemimpin BN. Siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan mereka akan 'diaibkan' seperti kes ADUN Lunas, betapa didedahkan segalanya oleh PKR.

9. Mana Islamik dan mana keadilannya? Lihat sahaja dalam beberapa PRK, bagaimana pengisian ceramah-ceramah Pas, begitu banyak serangan peribadi kepada calon yang menentang calon mereka. Inikah yang dibenarkan dalam Pas yang kononnya mendokong perjuangan Islam. Kepada semua pemimpin PAS, sedarlah dan cukuplah apa yang telah anda lakukan. Perpaduan Islam sebenarnya semakin lemah angkara politik taksub dan fanatik yang pemimpin-pemimpin PAS terapkan.

10. Generasi Islam kini makin jauh dari agama. Nilai-nilai murni makin berkurangan dan kian pupus. Generasi muda yang hadir ceramah Pas, seronok kerana ceramah penuh cacian dan maki hamun, kemudian diikuti dengan jeritan takbir. Inikah yang diajar oleh Islam untuk disebarkan kepada anak-anak kita, seperti berguling-guling di atas jalan raya bagi membantah titah sultan?

11. Lihatlah tuduhan Mahafiraun dan Mahazalim tempoh hari. Apakah Mahathir lebih jahat dari firaun atau lebih zalim dari firaun. Di mana akal yang waras semasa membuat tuduhan berkenaan. Akhirnya yang Mahazalim itu juga berjaya membangunkan negara. Tidak ada pula tuduhan dari Mahathir kepada mana-mana pemimpin Pas.

Sunday, September 20, 2009

RETAK SERIBU YANG SEMAKIN JELAS

Tiada krisis dalam Pakatan Rakyat Selangor, hanya Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang berhadapan dengan krisis. Demikian tegas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim semasa ditanya mengenai isu terbaru - Selcat - menghantui kerajaan negeri Selangor.

"Saya merasakan beliau (Dr. Hasan) dalam krisis, bukannya Pakatan. Pakatan tiada dalam krisis sehingga sekarang. Kita kukuh, kami mempunyai mandat yang kukuh.

"Saya melihat (Menteri Besar) Tan Sri Khalid Ibrahim menikmati populariti yang cukup tinggi... orang ramai gembira dengan apa yang beliau lakukan, orang ramai gembira dengan pembaharuan dilakukan beliau termasuk pembaharuan kepada Dewan Undangan Negeri.

"Jadi, jika ada sesiapa yang tidak boleh duduk bersemuka dengan Tan Sri Khalid, itu adalah krisis mereka, bukan krisis Tan Sri (Khalid).

"Adalah tidak adil untuk mengatakan krisis Tan Sri," kata Teng ketika diminta mengulas isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Teng mengulas kenyataan Hasan yang diberikan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri/Menteri Besar yang dihadiri kedua-dua mereka.

Teng yang mempengerusikan Selcat, dianggotai tujuh anggota termasuk dua wakil Barisan Nasional (BN), mengulas isu Selcat yang dikritik apabila pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa tersebut.

Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi, selain menjejaskan imej serta kredibiliti dirinya sebagai penjawat awam sejak 30 tahun lalu.

Katanya, siasatan diketuai Teng dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

Selcat akan mengadakan pertemuan susulan selama lima hari bermula 21 Oktober ini.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

KOMEN HASAN ALI

Kira-kira sejam sebelum ulasan Teng itu, Hasan yang ditemui wartawan mempertahankan kritikan dilemparkan pegawai-pegawai daerah sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri memberitahu, daripada hanya dianggotai oleh ahli-ahli politik memberitahu, keanggotaan Selcat boleh terdiri daripada bekas hakim, pegawai kanan kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat terkemuka.

Hasan berkata: "Kami semua menyokong penubuhan Selcat. Tetapi yang saya agak, agak sedikit kecewa ialah dengan cara pengendalian Selcat itu."

"Anda tahu beberapa Pegawai Daerah sama ada yang dipanggil untuk disoal siasat atau diambil keterangan dan sebagainya, tetapi sebagaimana dilaporkan dalam pertemuan kita dengan Yang Dipertua-Yang Dipertua dan termasuk seluruh kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri Selangor ini, mereka melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

"Mereka merasakan mereka diaibkan, mereka merasakan imej mereka terjejas, mereka merasakan mereka tidak dilayan seperti pegawai kanan kerajaan, sebaliknya dilayan seperti budak sekolah dan dengan asakan soalan-soalan... sebab itu mereka merasakan tiada ruang untuk memberikan jawapan-jawapan yang adil dan ada pegawai-pegawai daerah sendiri tidak tahu bentuk jawapan yang dikehendaki oleh Selcat," kata Hasan lagi.

Hasan menambah, beliau sangat bersimpati dengan pegawai-pegawai berkenaan.

"Saya juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan, pegawai kanan kerajaan satu masa dahulu... jadi saya tahu perasaan mereka, saya tahu hati mereka, saya tahu fikiran mereka, dan saya tahu cara mereka beroperasi.

"Oleh itu, secara semula jadi saya bersimpati dengan mereka, kemungkinan... khususnya dalam isu yang membabitkan Selcat ini," kata beliau yang mengharapkan sesi pendengaran Selcat bulan depan ditangguhkan sehingga pengubahsuaian yang disarankan ini dilakukan.

TENG HAIRAN PENDIRIAN HASAN

"Saya agak hairan dengan Datuk Hasan yang jahil dengan amalan berparlimen kerana ini adalah jawatankuasa hak dan kebebasan dibentuk oleh Dewan Undangan Negeri.

"Tiada amalan sedemikian untuk tempoh selama 300 tahun yang lalu di mana jawatankuasa hak dan kebebasan dianggotai oleh bekas hakim dan anggota bukan Dewan... jadi, saya tidak tahu sama ada beliau jahil atau mahu mewujudkan sesuatu yang baru berhubung amalan berparlimen selama ini.

"Saya mengatakan bahawa berdasarkan amalan berparlimen di negara-negara Komanwel sejak 300 tahun lalu, saya tidak mendengar keanggotaan sedemikian, jawatankuasa hak dan kebebasan terdiri daripada mereka yang bukan anggota Dewan," kata Teng sambil menjelaskan, aturan mesyuarat DUN juga menetapkan keanggotaan perlu datang daripada semua parti.

"Jadi kita perlu mengambil kira pengiktirafan itu," kata Teng lagi.

"Parlimen adalah badan politik paling tinggi. Jadi, bagaimana anda boleh mengambil keluar unsur politik? Kita berada di sini juga menerusi politik.

"Jika sesiapa mahu membuat penghakiman, mereka harus menyertai bidang kehakiman, jadi hakim. Anda tidak boleh menyertai Parlimen, dengan anggota perundangan menjadi hakim," katanya.

Teng, pemimpin DAP, juga mempersoalkan kapasiti Hasan bercakap mengenai isu Selcat buat masa sekarang.

Hasan menjadi tumpuan dalam isu pengharaman jualan minuman keras di kedai serbaneka 24 jam di kawasan Shah Alam, Julai lalu.

"Ini bukan merupakan isu Pakatan. Beliau ada kapasiti, saya tidak tahu apa kapasiti yang beliau bercakap.

"Apabila beliau bercakap mengenai pengharaman minuman keras, beliau bercakap sebagai pemimpin PAS. Bila bercakap sebagai pemimpin Pakatan, beliau bercakap mahu menukar setiausaha kerajaan negeri, penasihat perundangan, mahu tukar Pegawai Daerah dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan.

"Dan, sekarang mahu mengubah Selcat. Saya tidak tahu apa kapasiti yang beliau mahu bercakap. Itu anda kena tanya beliau sendiri," kata Teng sambil menambah, perjalanan Selcat telah disambut baik oleh orang ramai.

"Orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadap Dewan Undangan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Selcat, dan kita perlu memenuhi harapan itu," katanya.

Katanya, jika ada pihak yang mahu mengubahnya, "saya fikir sudah tiba masa bagi mereka mengkaji semula kedudukan mereka."

"Selcat adalah sesuatu yang baru di negara ini, tetapi bukan sesuatu yang baru jika diambil kira amalan berparlimen negara-negara Komanwel.

"Kita perlu bergerak ke hadapan. Dan, jika perlu ada perubahan di sana sini, kita boleh duduk dan berbincang.

"Tapi jika mahu dibubarkan sama sekali, saya rasa tidak boleh," katanya.

Katanya: "Tidak timbul soal pengubahsuaian. Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan pengubahsuaian oleh Hasan Ali. Saya tidak melihat apa-apa masalah sekarang."

KOMEN MB KHALID

Mengulas isu yang sama, Khalid pula berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan untuk meneliti kaedah terbaik agar sistem komunikasi diuruskan dengan baik supaya tiada mana-mana pihak merasakan terguris dalam keadaan mahu bertindak secara terbuka dan telus.

Kata Khalid, beliau akan mengaturkan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut dalam waktu terdekat.

"Jika itu keadaannya saya perlu mengaturkan mesyuarat dengan Speaker dan anggota Selcat dengan pegawai-pegawai daerah, dan dengan Exco agar kita boleh mencari jalan dan cara bagaimana boleh menyelesaikan perselisihan faham dan niat kita," katanya.

Mengenai syor Hasan supaya sistem Selcat dikaji semula, Menteri Besar berkata, ia bukan dalam ruang lingkup prosedur DUN.- mStar Online.

Tuesday, September 15, 2009

SEMARAKKAN SEMULA LAGU 'MALAYSIA BERJAYA'




Malaysia Berjaya lagu 1Malaysia


MALAYSIA kita sudah berjaya
Aman makmur bahagia
Malaysia abadi selamanya
Berjaya dan berjaya
Berbagai kaum sudah berikrar
Menjunjung cita-cita
Satu bangsa satu bahasa
Malaysia Berjaya
Dari Perlis sampailah ke Sabah
Kita sudah merdeka
Negara makmur
Rakyat mewah
Kita sudah berjaya
Dengar semboyan kita berjaya
Gemuruh di angkasa
Satu bangsa satu negara
Malaysia Berjaya


1. Penulis amat tertarik dengan satu komen yang telah diluahkan oleh seorang pembaca dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 September 09 berkenaan lagu Malaysia Berjaya.

2. Pada saya inilah lagu tulen semangat 1Malaysia. Seingat saya ketika di sekolah, saya begitu bersemangat menyanyikan lagu ini bersama rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum.

3. Liriknya begitu positif dan optimis dan boleh dijiwai semua kaum di Malaysia. Dan secara di bawah sedar, liriknya membuat kita bangga menjadi rakyat Malaysia. Bukankah itu yang kita perlukan pada ketika ini? Kembalikanlah lagu ini. Nyanyikanlah selepas Negaraku. Nyanyikan di sekolah, di acara rasmi atau tidak rasmi.

4. Gemilangkan semula lagu Malaysia Berjaya. Saya yakin semangat sayang dan banggakan Malaysia akan kembali bersemarak. Jiwa patriotik akan membara semula tanpa mengira kaum dan bangsa.

5. Malaysia Berjaya adalah lagu kita. Dicipta oleh anak jati Malaysia. Tutup mulut mereka yang selalu menuduh kita suka mencuri karya orang. Sesungguhnya lagu Malaysia Berjaya adalah sebuah karya yang mendahului zaman dan penulis merasakan pencipta asal lagu ini mempunyai nilai sensitiviti yang tinggi terhadap sesuatu perubahan zaman. Kalau Singapura dengan Majulah Singapura, Indonesia dengan Indonesia Raya, Malaysia pula bangga dengan Malaysia Berjaya.

6. Oleh yang demikin, bersempena dengan sambutan hari penubuhan Malaysia yang diraikan setiap 16 September setiap tahun, penulis menyarankan lagu Malaysia Berjaya perlu diberi nafas baru dan dikumandangkan selepas lagu Negaraku. Selayaknya, lagu ini memberikan inspirasi yang sungguh bermakana dan menusuk ke dalam jiwa kalbu andai dihayati dengan penuh ketulusan.

TARBIAH ANAK-ANAK MELALUI PENDIDIKAN KEKELUARGAAN

1. Umum mengetahui betapa meruncingnya tahap dan nilai etika remaja Islam masa kini. Apakah keadaan ini menandakan institusi kekeluargaan semakin terhakis dan tidak lagi berfungsi dalam proses pentarbiahan terawal anak-anak. Kegagalan institusi keluarga memainkan peranan sebagai role model dan qudwah hasanah (teladan) semakin menyeret remaja jauh daripada kebenaran dan kesedaran.

2. Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah at-Tahrim ayat 6)

3. Ayat ini menegaskan tentang bahaya atau akibat daripada melanggar perintah Allah. Oleh itu, setiap individu Islam khususnya bapa wajib menyedari seterusnya mendidik anak, isteri dan keluarga yang kita kasihi dengan ajaran dan adab serta peraturan yang telah digariskan oleh Islam supaya diri dan keluarga kita terselamat dari kemurkaan Allah.

4. Penyelesaian perlu ditumpukan pada peringkat awal iaitu bermula dengan pengukuhan sistem kekeluargaan yang menitikberatkan pengukuhan nilai murni ke arah melahirkan keluarga harmoni. Pendidikan tidak formal oleh ibu bapa yang bermula dari rumah meliputi bimbingan, muhasabah dua hala dan pemantauan berterusan untuk meningkatkan etika dan peranan remaja perlu dilaksanakan oleh setiap keluarga. Pembangunan nilai berasaskan agama, persediaan memasuki alam remaja dan ketahanan diri menghadapi pergolakan sosial perlu ditanam dalam institusi keluarga.

5. Kehidupan dan pendidikan berasaskan agama mestilah diterapkan kepada remaja bagi menjamin kemantapan dan pemeliharaan akidah serta jati diri sempurna. Nilai baik dan etika hidup sihat perlu menjadi budaya kehidupan sesebuah institusi kekeluargaan.

6. Andainya penjagaan dan pendidikan remaja dapat dilihat sebagai sebatang pokok, maka pendidikan agama adalah akar tunjang kepada kekuatan remaja. Pendidikan terhadap anak-anak merupakan perkara yang amat penting dan dititikberatkan dalam ajaran Islam.Untuk mencapai kesempurnaan pendidikan anak-anak, ibu bapa perlu mewujudkan suasana yang harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumah tangga terlebih dahulu.

7. Sekiranya suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, sukarlah bagi mereka mentarbiah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam. Maka dengan sebab itulah rumah, ibu bapa dan keluarga mesti dijadikan institusi penting dalam pembangunan seterusnya melahirkan anak-anak cemerlang.

Kita kerap diingatkan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikan Yahudi, Nasrani ataupun Majusi".

8. Ternyata bahawa berjaya atau tidaknya seorang anak itu menjadi insan yang cemerlang bergantung kepada didikan ibu bapa. Mungkinkah tanggungjawab yang berat ini dapat dipikul dan dilaksanakan oleh seorang ibu secara bersendirian? Jawabnya tentu tidak, kerana seorang ayah juga berperanan dalam pembentukan akhlak anak-anak.

9. Oleh yang demikian proses pentarbiahan anak-anak ini mengambil masa yang panjang dan sudah tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam apa juga bentuk pengorbanan yang perlu dilakukan. Oleh itu sebagai ketua dan pemimpin dalam keluarga, apakah kita sudah bersedia untuk dipertanggungjawabkan dan diadili di hadapan Allah kelak mengenai kepimpinan kita di dunia ini.

(Rencana Penulis yang tersiar dalam Utusan Malaysia- 13/01/2006)