Thursday, September 3, 2009

SEJARAH TERCIPTA.. KAPAL SELAM PERTAMA NEGARA


Sejarah tercipta buat negara dengan ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Tunku Abdul Rahman, di pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, di Pulau Indah di sini hari ini.

Ketibaannya disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia; Jen Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan anggota keluarga anak kapal KD TAR.

KD TAR adalah antara dua kapal selam baru jenis Scorpene yang ditempah oleh kerajaan pada 2002 dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion. Ia dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol. Sebuah lagi yang dinamakan KD Tun Razak, akan ditauliahkan pada Oktober ini dan dijangka tiba di Malaysia pada Mac tahun depan.

Kapal ini dibanggai kerana berkeupayaan dapat mengawal perairan, dapat menyelam sejauh 100 hingga 200 meter. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan modern dan kelengkapan perang enam tiup peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak. Peluru berpandu ini anti kapal permukaan dan terpedo antikapal selam.

Ianya berkuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot nautika itu berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 periuk api, manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya.

No comments: