Wednesday, August 26, 2009

Ramadhan: Pesta Menuai Ganjaran Pahala

Pada bulan suci Ramadan, inilah peluang kita untuk beribadat terbuka dengan seluas-luasnya. Misalnya dengan menghidupkan setiap malam dengan mengerjakan solat tarawih, bertadarus al-Quran, menjamu hidangan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, melakukan kerja-kerja khidmat bakti masyarakat dan sebagainya. Sekecil mana sekalipun amal yang kita lakukan pada bulan suci ini akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah s.w.t.


Bulan Ramadhan adalah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Apa tidaknya, dosa-dosa yang dilakukan akan mendapat keampunan dari Allah bagi hamba-Nya yang melakukan ibadah pada bulan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta pengharapan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:


Maksudnya : " Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah maka diampunkan bagi-nya segala dosa yang telah lalu ". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sebagai tanda sanjungan dan penghargaan di atas anugerah tersebut, marilah kita melaksanakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin tanpa mencemarinya dengan sesuatu perbuatan, tindakan dan perkataan yang boleh menjatuhkan imej Islam dan kesucian bulan Ramadan itu sendiri. Dalam bulan ini juga kita perlu memperbaharui dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melipat gandakan amal ibadat kepada Allah s.w.t., supaya hubungan kita dengan Allah s.w.t. bertambah teguh dan semakin halus pula perasaan kemanusiaan kita terhadap sesama insan, sehingga melahirkan amal kebaikan yang bermanfaat dalam suasana aman dan tenteram. Dengan sifat mulia yang ditunjukkan maka penghidupan sesama insan bertambah harmoni dalam suasana keselesaan dan saling rasa berkeprihatinan.


Ramadan bulan yang penuh dengan kerahmatan ini memaparkan dan merupakan manifestasi sifat keadilan dan perasaan kasih sayang Allah s.w.t. yang tidak bersempadan terhadap umat sejagat. Seiringan dengan itu, seharusnya ibadah puasa yang kita sedang kerjakan menjadikan umat Islam perlu bersifat adil dalam menopang kebenaran meskipun terhadap diri sendiri, kaum kerabat dan masyarakat keseluruhannya. Ini kerana, apabila sifat adil atau nilai-nilai keadilan itu sudah dicemari, segala perancangan dan gerakan yang dilakukan akan menjadi serba tidak kena.


Manakala sifat pengasih atau kasih sayang dapat diikat terhadap sesama insan tanpa batasan bangsa dan negara. Penyerlahan sifat-sifat mulia itu melahirkan perbuatan kebaikan sehingga dapat dinikmati oleh manusia sejagat dalam mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan di dunia ini.


Allah s.w.t. juga menetapkan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan matlamat untuk memupuk dan melahirkan sifat rahmah ke atas setiap insan. Sifat ini dapat diserapkan ke dalam hati apabila umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah puasa bersama-sama merasakan keperitan dan kemelaratan orang lain dalam mengharungi perjuangan puasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta melawan hawa nafsu.

Penzahiran sifat rahmat ini menjangkau jauh tanpa mengenal batasan bangsa, agama dan negara sebagaimana Allah s.w.t. telah menunjukkan sifat rahmah terhadap hamba-hamba-Nya sama ada yang beriman atau yang tidak beriman. Allah s.w.t. tetap memberikan kurnia-Nya kepada sesiapa yang dikehendakinya dan memberikan peluang kepada manusia untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.


Sifat rahmah ini sememangnya sukar untuk dizahirkan ke dalam diri manusia dengan mengambil kira sifat fitrah manusia yang lebih cenderung mementingkan diri sendiri. Bagi segelintir manusia yang tidak mempunyai sifat rahmah ini, mereka akan bertindak di luar batasan dengan menggunakan pelbagai cara asalkan apa yang dicita-citakan tercapai tanpa mengambil pertimbangan perasaan keinsanan sesama insan. Kadangkala tindakan yang diambil agak keterlaluan sehingga ada manusia yang menjadi mangsa dan korban.


Di dalam bulan Ramadan juga, Allah s.w.t. telah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w. sebagai rahmat bagi alam ini dan untuk menjadi pedoman hidup bagi manusia. Oleh itu, untuk mendapatkan keberkatan al-Quran janganlah kita setakat, bertadarus al-Quran atau sekadar membacanya semata-mata dengan tujuan mengkhatamnya.


Yang lebih penting adalah hendaknya kita dapat berinteraksi dengan al-Quran secara langsung, berusaha memahami maknanya dan menjadikannya sebagai panduan hidup sehingga ia menghidupkan minda, perasaan, kalbu, penghidupan, masyarakat dan negara. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185:

Maksudnya: “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang hak dan yang batil).


Sebagai satu rahmat Allah s.w.t. pada bulan Ramadhan ini, usaha membangun syakhsiah Muslim seutuhnya perlu dipraktikkan di sepanjang bulan Ramadan ini. Bahkan pelaksanaan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain pada sepuluh hari terakhir Ramadan perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan. Ini kerana tempoh tersebut merupakan kemuncak ibadat puasa sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. daripada Saiyidatina Aishah r.a., sesungguhnya Nabi s.a.w. adalah sangat giat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. (beribadat) pada sepuluh hari terakhir Ramadan.


Tunggak ibadah pada bulan Ramadhan ialah ibadah puasa iaitu menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum bahkan dari segala perkara maksiat dan yang membatalkan pahala puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Apabila seseorang itu telah berjaya menahan dirinya daripada perkara-perkara yang dinyatakan, maka layaklah ia mendapat pahala daripada Allah dengan izin dan kemurahan-Nya.


Dalam konteks ibadah puasa, kejayaan menempuh ujian perlu disertai dengan sifat sabar. Sifat sabar merupakan perkara asas dalam kehidupan kita seharian terutamanya sabar dalam menghadapi segala macam ujian hidup. Sifat sabar ini dapat menjadikan kita seorang Muslim yang tabah dan mempunyai jati diri dalam menghadapi ujian dan ranjau kehidupan.


Sifat sabar perlu wujud dalam diri kita untuk menyempurnakan ibadah puasa kepada Allah s.w.t. dengan sebaik mungkin. Kita hendaklah melaksanakan ibadah puasa ini dengan penuh keinsafan dengan meninggalkan semua perkara yang boleh merosakkan pahala puasa kita. Elakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang melalaikan serta boleh mengurangkan pahala puasa. Jangan jadikan puasa kita sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja. Bersabarlah juga dalam menahan diri dari melakukan perkara yang sia-sia. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Zumar ayat 10:


Maksudnya : " Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira ".


Imam Ibn Qayyim berkata, "Puasa mempunyai pengaruh yang sangat mengkagumkan dalam memelihara jasmani dan rohani. Ia dapat melindungi manusia yang mengamalkannya dari pengaruh negatif dari sudut jasmani dan rohani. Maka kerana itulah puasa merupakan pendorong utama bagi mencapai takwa."


Demikianlah sebahagian daripada kelebihan ibadah puasa dan keistimewaan bulan Ramadan al-Mubarak. Oleh itu hendaklah kita merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan sempurna dan penuh keikhlasan.



No comments: