Monday, March 29, 2010

BONGKAR...DAN BONGKAR LAGI.....


1. Pendedahan seorang lagi Ahli Parlimen bebas, Zulkifli Noordin di Dewan Rakyat, baru-baru ini membuka lagi banyak persoalan tentang kewibawaan Anwar Ibrahim. Bekas wakil rakyat PKR itu mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

2. Walaupun Zulkifli tidak menamakan sesiapa, desas-desus berlegar bahawa orang yang dikaitkan ialah Anwar. Bekas pemimpin muda PKR, Ezam Mohd. Noor dalam reaksinya mendakwa, beliau juga pernah diminta memfitnah Najib dan Rosmah dalam kes Altantuya. Ezam tidak berselindung. Beliau menamakan Anwar sebagai orangnya. Menurut Ezam, beliau bertanyakan Anwar apa buktinya mengaitkan Najib tetapi pemimpin utama PKR itu berkata tiada dan sebaliknya meminta beliau ‘bedal’ (lempar tuduhan) sahaja terlebih dahulu. Sampai begitu sekali fitnah dijadikan senjata politik.

3. Pendedahan terbaru ini merupakan satu lagi tamparan kepada Anwar dan PKR. Belum pun reda, isu pembohongan beliau yang didakwa mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia dalam cubaan rampasan kuasa 16 September, terdedah satu lagi tembelang besar. Kalau di kebanyakan negara, pemimpin yang melakukan pembohongan besar, dengan sendirinya melepaskan jawatan. Dengan imej sebagai pembohong, beliau tidak layak menjadi Ketua Pembangkang. Memalukan. Ia suatu penghinaan kepada pembangkang, rakyat dan negara. Pemimpin harus kelihatan bersih.

4. Setakat ini, penjelasan Anwar berkaitan pendedahan di Dewan Rakyat, tidak meyakinkan. Seperti biasa, beliau marah dan melenting apabila diajukan pertanyaan yang beliau tidak suka. Walaupun kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan media, Anwar bersandiwara. Beliau selalu emosional, meninggi suara dan memperlekehkan wartawan. Anwar menggambarkan beliau pemimpin hebat tetapi selalu gagal menangani soalan media. Bukan itu sahaja Anwar bersama pemimpin DAP memboikot media yang tidak selari dengan aspirasi pembangkang. Bayangkan jika Anwar yang menghadapi krisis moral, integriti dan hipokrit dalam soal demokrasi, menjadi Perdana Menteri, kita boleh gambarkan beliau akan menjadi seorang diktator dan zalim. Bibit- bibit itu semakin jelas sekarang.

5. Jika dilihat senario ini, Anwar bukan setakat liabiliti kepada pembangkang malah kepada agama, bangsa dan negara. Makin banyak senario yang tidak memihak kepada beliau. Tetapi waspadalah, orang terdesak akan melakukan tindakan terdesak dan di luar jangkaan. Ketika ini, beliau memperhebatkan lagi kempen ke seluruh negara atas nama menyelamatkan Malaysia tetapi sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan diri. Bukti pendakwaan kes liwat terhadap Saiful Azlan Bukhari cukup kukuh dan terus meresahkan Anwar. Beliau juga dikatakan khuatir jika Saiful ditemukan dengan ulama ternama Islam, Dr. Yusuf Qaradhawi. Selama ini, beliau dilihat memanipulasi ulama berkenaan tanpa Saiful diberi keadilan. Jika pertemuan itu berlaku Saiful boleh memberikan versi cerita beliau, yang boleh dinilai oleh ulama tersebut.

6. Keyakinan Saiful untuk melakukan sumpah muhabalah di masjid berbanding dengan keengganan Anwar, sudah boleh menjadi petunjuk. Melihat air muka Anwar yang kian keruh dan merenung wajah Saiful yang sentiasa tenang, dapat memberikan sedikit cahaya akal siapa sebenarnya yang menjadi mangsa

Thursday, November 12, 2009

ANWAR IBRAHIM: STRATEGI POLITIK YANG BANGSAT



1. Kalau sudah kemaruk hendak berkuasa, mereka sanggup lakukan apa saja biarpun taktik kotor. Agak pelik memikirkan sikap sebuah parti pembangkang negara ini yang tidak habis-habis melakukan gerakan politik.

2. Kita tidak terkejut pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin tentang mesyuarat Majlis Tertinggi PKR apabila penasihat parti itu mentarbiah ahli-ahlinya supaya merancang strategi baru menyerang peribadi Perdana Menteri.

3. Mungkin itu sahaja langkah yang Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu. Langkah itu dilihat bukan strategi lelaki budiman untuk merampas kerusi Perdana Menteri.Tetapi lebih dilihat sebagai ketandusan dan kemandulan strategi politik yang semakin memalit dalam Pakatan Rakyat.

4. Bukan rakyat tidak maklum kedudukan Anwar yang sedang berhadapan dengan kes perbicaraan mahkamahnya yang asyik ditangguhkan. Malahan, tidak dapat disorokkan lagi episod tsunami kepimpinan PKR apabila kalangan pemimpin parti itu secara terbuka mengkritik kepimpinan Anwar. Dan satu persatu pemimpin tertinggi parti dan wakil rakyatnya meninggalkan PKR. Kini terbukti, style kepimpinan Anwar yang banyak menyerang peribadi musuh politiknya telah memakan diri.

5. Tetapi hakikat sebenarnya, inilah taktik Anwar untuk mengalih perhatian daripada pelbagai kemelut peribadi dan masalah dalaman PKR yang diterajuinya. Penyokong PKR akan berasa seronok apabila mendapat suntikan baru daripada Anwar untuk memburuk-burukkan peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak. Apabila politik "matlamat menghalalkan cara" untuk mencapai kerakusan pangkat dan kuasa, natijahnya dapat dilihat di depan mata masyarakat umum.

7. Di bawah kepimpinan Najib, negara kita sedang pulih daripada krisis ekonomi global. Beliau juga berusaha keras turun padang menemui rakyat dan mengembalikan keyakinan masyarakat berbilang kaum kepada kerajaan.Iltizam Perdana Menteri ini perlu disokong dan inilah semangat 1Malaysia yang menjadi azimat untuk memperkasa ummat.

9. Bukan satu kerja mudah untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan memulihkan hubungan kaum setelah diapi-apikan oleh pakatan pembangkang. Syukur, Malaysia kini kembali menemui rentak dalam semua bidang baik sosio-ekonomi mahupun sosio-budaya. Usah kita sia-siakan pembaharuan dan perubahan dalam gagasan 1Malaysia.

11. Berhati-hatilah apabila tiba-tiba timbul desas-desus atau cerita karut mengenai Perdana Menteri. Cepat-cepatlah kita tepis. Jangan mudah dipercayai cerita tersebut jika sumbernya daripada pihak yang diragui, apatah lagi daripada konco-konco PKR.

12. Apa yang sudah kita perhatikan sejak Mac 2008 hingga Oktober lalu, usah diteruskan. Biarkan Anwar dan ahli-ahli PKR mendendangkan cerita konspirasi sebagai penglipurlara untuk mereka syok sendiri. Pemikiran rakyat perlu ditumpukan kepada usaha-usaha untuk memajukan diri dan negara.

Tuesday, November 3, 2009

PELIK BIN AJAIB.....APABILA JAIS MENANGKAP ULAMA




1. Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentu memeranjatkan banyak pihak. Alasan yang diberi, disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

2. Penahanannya pula berlaku di sebuah rumah persendirian di Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur, waktu tengah malam sesudah tamat kuliah dan orang ramai telah meninggalkan kediaman berkenaan.

3. Saya aneh tentang dua perkara. Pertama, Dr. Asri dikatakan mengajar tanpa tauliah. Kedua, timbul pula tohmahan dan tuduhan mengatakan Dr. Asri menyebarkan ajaran atau gerakan Wahabi dan dikatakan beliau menolak, maknanya tidak mengiktiraf pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

4. Itulah sesuatu yang beliau sendiri nafikan tidak seperti dakwaan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) dalam memorandum mereka bertarikh 12 Oktober kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

5. Situasi begini yang menimpa Dr. Asri itu akan mengelirukan masyarakat, lebih-lebih lagi umat Islam.

6. Aneh sungguh, seorang yang bertaraf mufti, berpengajian tinggi sehingga memiliki ijazah kedoktoran di bidang pengajian al-Quran dan kepakaran Hadis, sewenang-wenangnya diperlakukan sama dengan orang yang tidak berilmu, orang jahil atau tidak ubah disamakan seperti Ayah Pin atau Rasul Melayu atau mana-mana ajaran sesat yang lain.

7. Soal tauliah sepatutnya tidak timbul. Apakah patut seseorang yang bertaraf mufti, lengkap ilmu agama dan pengetahuannya, tidak layak ditauliahkan atau masih memerlukan tauliah?

8. Saya percaya, sebagai mantan mufti, beliau ada memiliki tauliah, sekurang-kurang yang dikeluarkan di Perlis. Tetapi akibat kita ada pelbagai peringkat kuasa agama, maka pentauliahan dan penguatkuasaannya menjadi tidak sama hak dan terhad berdasarkan wilayah kuasa tadi.

9. JAIS dan mana-mana Majlis Agama Islam Negeri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), perlu duduk semeja, segera yang mungkin. Mereka perlu cari jalan sepakat, bermuafakat dan menggubal garis panduan sebenar bagi seseorang yang layak untuk menjadi pensyarah atau mengajar agama.

10. Mungkin peraturan yang ada selama ini sudah usang atau lapuk dan perlu diperbaharui.

11. Seragamkan garis panduan di semua negeri, sama ada kuasa agama itu di bawah Sultan dan Raja-Raja atau di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri yang diketuai Yang Di-Pertua Negeri. Saya kira Jakim sebagai agensi penyelaras tidak sukar melakukannya, jika kita ada kemahuan dan semuanya menyepakati tujuan murni ini.

12. Gerakan memecah belahkan umat Islam sedang terjadi bukan sahaja di Barat dengan pelabelan tertentu, menolak cara berpakaian Islam untuk penganutnya, ada gerakan Islam liberal walaupun terang-terang bertentangan dengan firman dan hadis yang sahih sanadnya, bahkan mungkin jarum-jarum halus mereka mulai masuk secara tanpa kita sedari di tengah-tengah kalangan kita.

13. Kita di Malaysia yang terkenal dengan kebijakan dan kebijaksanaan bertindak, dipandu pula oleh tradisi agama dan budaya yang kukuh, mempunyai jalan luas lurus apabila berhadapan dengan isu-isu sedemikian rupa. Kita boleh duduk bersama, berbincang dan berbahas sesama kita, di ruang tidak terbuka demi mencari kebenaran ilmu dan keadilan untuk semua. Kumpulkan ulama, sarjana dan cendekiawan Islam dengan jumlah yang sesuai dan kita berbicara dengan rasional.

14. Sebagai orang awam, pelbagai pertanyaan bermain di kepala saya, mungkin di kalangan rakan-rakan dan anggota masyarakat yang lain. Apakah JAIS telah bertindak dengan bijak apabila Dr. Asri ditahan kerana atas alasan prosedur pentadbiran agama negeri semata-mata? Apakah Dr. Asri itu pembawa ajaran sesat yang menyeleweng daripada akidah Islamiah sebenar, sama seperti mereka yang lain yang kerap kita dengar dan ketahui? Samakah Dr. Asri itu dengan seorang Ayah Pin atau Rasul Melayu atau pimpinan al-Arqam?

15. Sebaliknya pula sekiranya isu tauliah menjadi masalah, maka tetapkan garis panduan khusus bagi pendakwah seperti beliau. Mungkin ada batas audiens kerana faham ilmiah antara seseorang itu berbeza, bukan semata-mata kerana pengajian tetapi latar belakang darjah fikiran dan pemikiran, kebolehan menanggapi ilmu dan keupayaan membahaskan tradisi keilmuan tinggi itu.

16. Jangan sekali-kali dibiarkan persoalan agama sebagai persoalan kuasa atau emosi, apalagi kedangkalan ilmu yang dimiliki orang awam, yakni orang seperti saya, terseret ke wilayah kebekuan intelektual umat kita sendiri dan di negara sendiri yang memandang tinggi akan tradisi ilmu dan keilmuan

Friday, October 23, 2009

APABILA AMANAH DIKHINATI...




BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

MINGGU ini kita dihidangkan Laporan Ketua Audit Negara 2008. Seperti laporan bagi tahun-tahun sebelumnya, ia masih mengesan kes-kes pembelian atau pembekalan barangan atau alatan kepada agensi-agensi tertentu pada harga yang tidak munasabah.

Kes komputer riba yang dibeli pada harga RM84,640 seunit berbanding harga pasaran terbuka bagi jenis dan model yang sama RM9,000; peralatan makmal telekomunikasi yang dibeli pada harga berbeza antara RM1,240 dan RM30,510 seunit sedangkan harga di pasaran hanya RM900 seunit; dan kes bayaran bagi petrol pada kadar RM300 seliter berbanding harga pasaran tidak pun sampai RM2 seliter, adalah antara contohnya.

Ia menggambarkan wujud kelemahan yang memberi kesan kepada perbelanjaan wang kerajaan; yang perlu diambil tindakan segera.

Sungguhpun kes-kes luar biasa itu dari segi peratusannya adalah rendah berbanding dengan kos pembekalan peralatan kepada jabatan atau agensi kerajaan, ia tetap tidak boleh dipandang ringan. Tindakan pembetulan perlu dilakukan dengan memastikan mereka yang diamanahkan perlu mengambil tanggungjawab tersebut.

Jika kita memberi penghargaan kepada kakitangan kerajaan yang menunjukkan prestasi cemerlang; tindakan perlulah diambil ke atas mereka yang gagal dalam kerja mereka.

Ulasan:

1. Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah iaitu kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).

2. Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman adalah orang yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.

3. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

4. Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara- perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.

5. Jadikan Rasulullah S.A.W sebagai model dalam urusan pekerjaan. Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda). Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat ganda kepada perniagaan Khadijah.

6. Justeru, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlu memenuhi dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

7. Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh pekerja kepada organisasi. Begitu pun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.

8. Amanah dalam bekerja meliputi skop- skop sebagaimana berikut:

* Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya;

* Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan;

* Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri daripada mengatasi kepentingan tugas; dan

* Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.

Monday, October 19, 2009

JANJI DIKOTA...UBAH SEBELUM REBAH






1. Berhimpun sudah...bersidang sudah, berbahas pun sudah bahkan segala-galanya pun sudah belaka. Perhimpunan Agung UMNO yang baru melabuhkan tirainya telah melakukan satu tindakan yang agak berani dengan melakukan banyak pindaan perlembagaan partinya. Semua ini dilakukan demi kelangsungan perjuangan Parti UMNO terus relevan dan kewujudannya tetap dirasai serta dimengerti oleh orang kebanyakkan.

2. Lantaran, perhimpunan UMNO kali ini telah memberi suntikan dan roh baru kepada perjuangan UMNO yang telah menerima tamparan maut semasa PRU ke-12, 2008. Kebangkitan parti-parti pembangkang mutakhir ini telah merisaukan dan menenggelamkan aura parti UMNO yang selama ini menjadi parti keramat buat orang Melayu.

3. Ucapan penuh semangat ibarat letusan gunung berapi yang dimutahkan oleh Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan sulung pembukaan persidangan UMNO baru-baru ini memberikan satu inspirasi baru kepada parti UMNO dan ahli-ahlinya. Sesiapa sahaja yang hadir atau mendengar ucapan sulungnya pasti terpesona lantaran auranya sampai menusuk jantung. Seolah-olah DS Najib, ibarat Sang Panglima Perang sedang memberikan amanat terakhir kepada bala tenteranya untuk berperang menghadapi musuh.

4. Penulis yang ketika itu berada di dalam PWTC sempat merasai susana gegak gempita para perwakilan yang memberikan respond yang agak luar biasa terhadap ucapan sulung presiden UMNO. Penilaian ringkas yang boleh dikongsi bersama, betapa mejoriti perwakilan dan ahli-ahli UMNO yang hadir dalam perhimpunan tersebut mahukan perubahan dan perlu di terjemahkan dengan seikhlas hati.

5. Amatan penulis, perubahan dan pindaan yang telah dibuat amat dialu-alukan. Apa yang dilakukan oleh Parti UMNO sememangnya menepati aspirasi mejoriti jutaan ahlinya. Dengan harapan, budaya atau penyakit yang telah menjadi darah daging "politik wang @ rasuah politik" yang sentiasa berleluasa ketika pemilihan pucuk pimpinan parti akan berkubur sirna di telan zaman.

6. Jauh di sudut hati penulis, betapa cantik atau moleknya perubahan dan pindaan perlembagaan UMNO yang telah dibuat. Ianya takkan membawa makna walau seinci pun kepada Parti UMNO seandainya jutaan ahli UMNO sendiri tidak berubah. Jika Perlembagaan parti sahaja berubah atau dipinda tanpa disusuli dengan perubahan sikap dan mentaliti pemimpin @ ahli UMNO terhadap "politik wang @ rasuah politik", pasti kehancuran dan kebinasaan sedang ditempah.

7. Sedari sepanjang perhimpunan itu berlangsung, ucapan berapi-api yang dilontarkan oleh para pembahas amat memukau dan menarik perhatian perwakilan dan pemerhati. pelbagai usul dan teguran telah disampaikan dalam pelbagai gaya persembahan. Namun, tersemat dalam hati penulis... para pembahas kurang menumpukan atau mengaitkan pindaan perlembagaan parti itu kepada persoalan, Bagaimana mengukuhkan jati diri ahli-ahli UMNO, pembinaan modal insan, menjadikan akhlak dan moral sebagai teras kepimpinan dan yang lebih penting bagaimana Islam sebagai landasan dan tunjang dalam perjuangan.

8. Parti UMNO yang mejoriti ahlinya orang Melayu yang beragama Islam... Berubahlah bukan setakat meminda atau menambah ayat, mengubah tulisan atau mengurangkan angka yang terkandung dalam perlembagaan parti UMNO. Tetapi berubah dalam erti kata yang sebenar. Akhlak berpandu pada ajaran Islam yang sebenar, Tindakan bersumber Musyawarah yang terhormat, Perancangan bermatlamatkan hasanah di akhirat dan Kepimpinan contohi keperibadian Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya.

9. UMNO...ubah sebelum rebah. Sudah pasti ahli-ahlinya perlu diberi suntikan keramat, bukan setakat diberi kata-kata semangat atau ucapan yang berapi-api. Bagi saya, kekuatan dalaman dan jatidiri perlu diperkasakan berpaksikan ajaran Islam yg sebenar. Sebab itu budaya ilmu perlu disuburkan semula melalui pelbagai cara antaranya, wujudkan kumpulan-kumpulan usrah di setiap cawangan yang akan berkumpul sekali seminggu. Jadikannya sebagai satu budaya dan amalan kerana disitu lahirnya nilai-nilai kekeluargaan, keharmonian dan proses pentarbiahan yang unggul.

10. Masa untuk parti, barisan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk berubah masih terbentang luas. Cuma, masa akan terus berlalu dan pergi tanpa menghiraukan sesiapapun yang tidak menghargai ruang dan peluang yang diberikan oleh masa. Setiap usul, pindaan dan komentar yang dibuat ketika perhimpunan perlu diterjemahkan dalam bentuk yang sebenar. Halatuju perjuangan perlu berlandaskan dan ditunjangi ajaran Islam yang sebenar agar natijahnya menjadi kebanggaan oleh seluruh rakyat Malaysia.... JANJI DI KOTA, UBAH SEBELUM REBAH!!!

Tuesday, October 13, 2009

ISA - TUNAI JANJI, PIKUL AMANAH, MASA UNTUK BERKERJA

"Tahniah Tan Sri Mohd Isa Samad"

1. Lazimnya, reaksi awal para pemimpin yang dilantik memegang sesuatu jawatan atau yang menang dalam sesuatu pertandingan ialah ungkapan "saya berjanji akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu dengan sebaik- baik mungkin."

2. Dalam Islam, amanah merupakan satu perkara yang sangat penting dan amat dititikberatkan dalam kehidupan seseorang kerana ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar pada amanah yang diletakkan ke atas dirinya.

3. Manusia tidak boleh lari atau melepaskan dirinya daripada menunaikan amanah yang telah diberi kepadanya. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan.

4. Oleh itu, sikap para pemimpin itu sendiri yang menganggap kepimpinan tidak lagi di letakkan sebagai amanah dari Allah tetapi melihatnya sebagai satu kemegahan dan kemasyhuran (populariti) telah mengundang musibah yang mengaibkan.

5. Justeru, janganlah kiranya masalah kepimpinan itu dipandang ringan, jangan sekali-kali ada di antara kita terlalu ghairah untuk menjadi pemimpin dan menganggap kepimpinan itu mengundang tasyrif iaitu untuk dimuliakan, diagungkan dan disanjung-sanjung. Malah kepimpinan juga dianggap mengundang kekayaan serta kemewahan hidup.

6. Yang lebih penting, kita perlu membetulkan persepsi bahawa kepimpinan bukanlah tasyrif, tetapi kepimpinan itu adalah taklif atau bebanan yang bakal dipersoalkan di mahkamah Allah SWT di akhirat kelak.

7. Marilah kita merenungi dan mengingati pesanan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang masyhur bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu." Kepada Tan Sri ISA, anda kena tunai janji, pikul amanah dan sekarang masa untuk berkerja- Rakyat Perlu di Utamakan.

Thursday, October 8, 2009

MALAYSIA "DISERANG" HARI INI..?




Membaca akhbar utusan hari ini, terpandang satu tajuk kecil "Malaysia diserang hari ini?".

1. Kononnya segelintit rakyat Indonesia yang menggelarkan diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) akan menyerang Malaysia hari ini. Menurut laporan 300 orang Indonesia yang mempunyai ilmu kebal akan menyerang Malaysia melalui Pontianak dan Nunukan di Borneo.

2. Kalau nak ikutkan perasaan sudah tentu, kita juga boleh mendesak semua pertubuhan mempertahankan diri di negara ini menunjukkan kekuatan mereka untuk bersedia berperang dengan Indonesia. Kita boleh minta media asing paparkan bagaimana ahli-ahli silat Malaysia berlatih.

3. Tetapi pemikiran rakyat Malaysia tidaklah secetek sesetengah pihak di Indonesia. Kita masih waras dan lebih mementingkan penyelesaian masalah melalui rundingan, biarpun sesuatu isu yang tercetus bukan salah kita.

4. Lihatlah apa yang sedang berlaku di Padang Indonesia, tanpa di minta, tanpa dipaksa dan dengan rasa bertanggungjawab atas dasar kemanusiaan dan rumpun sebangsa seislam. Rakyat Malaysia dengan penuh ihsan menyalurkan bantuan dalam pelbagi bentuk sungguhpun ada segelintir rakyat Indonesia yang langsung tidak menghargainya.

5. Apa yang pasti secara faktanya, rakyat Indonesia lebih memerlukan Malaysia. Kita juga yakin bahawa rakyat Indonesia yang bertungkus lumus mencari rezeki di negara ini, berasa bosan dengan gelagat rakan mereka di negara sendiri. Kita tidak akan sengsara kalau apa-apa berlaku dalam hubungan antara kedua-dua negara kerana Malaysia adalah lubuk emas rezeki bagi rakyat Indonesia.

6. Namun kita tidak perlu bertindak balas kecualilah kedaulatan dan maruah kita dicabul. Biarlah puak-puak yang tidak matang dan belum disunatkan lagi di Indonesia itu dengan gelagat kebudak-budakan mereka.