Monday, October 19, 2009

JANJI DIKOTA...UBAH SEBELUM REBAH






1. Berhimpun sudah...bersidang sudah, berbahas pun sudah bahkan segala-galanya pun sudah belaka. Perhimpunan Agung UMNO yang baru melabuhkan tirainya telah melakukan satu tindakan yang agak berani dengan melakukan banyak pindaan perlembagaan partinya. Semua ini dilakukan demi kelangsungan perjuangan Parti UMNO terus relevan dan kewujudannya tetap dirasai serta dimengerti oleh orang kebanyakkan.

2. Lantaran, perhimpunan UMNO kali ini telah memberi suntikan dan roh baru kepada perjuangan UMNO yang telah menerima tamparan maut semasa PRU ke-12, 2008. Kebangkitan parti-parti pembangkang mutakhir ini telah merisaukan dan menenggelamkan aura parti UMNO yang selama ini menjadi parti keramat buat orang Melayu.

3. Ucapan penuh semangat ibarat letusan gunung berapi yang dimutahkan oleh Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan sulung pembukaan persidangan UMNO baru-baru ini memberikan satu inspirasi baru kepada parti UMNO dan ahli-ahlinya. Sesiapa sahaja yang hadir atau mendengar ucapan sulungnya pasti terpesona lantaran auranya sampai menusuk jantung. Seolah-olah DS Najib, ibarat Sang Panglima Perang sedang memberikan amanat terakhir kepada bala tenteranya untuk berperang menghadapi musuh.

4. Penulis yang ketika itu berada di dalam PWTC sempat merasai susana gegak gempita para perwakilan yang memberikan respond yang agak luar biasa terhadap ucapan sulung presiden UMNO. Penilaian ringkas yang boleh dikongsi bersama, betapa mejoriti perwakilan dan ahli-ahli UMNO yang hadir dalam perhimpunan tersebut mahukan perubahan dan perlu di terjemahkan dengan seikhlas hati.

5. Amatan penulis, perubahan dan pindaan yang telah dibuat amat dialu-alukan. Apa yang dilakukan oleh Parti UMNO sememangnya menepati aspirasi mejoriti jutaan ahlinya. Dengan harapan, budaya atau penyakit yang telah menjadi darah daging "politik wang @ rasuah politik" yang sentiasa berleluasa ketika pemilihan pucuk pimpinan parti akan berkubur sirna di telan zaman.

6. Jauh di sudut hati penulis, betapa cantik atau moleknya perubahan dan pindaan perlembagaan UMNO yang telah dibuat. Ianya takkan membawa makna walau seinci pun kepada Parti UMNO seandainya jutaan ahli UMNO sendiri tidak berubah. Jika Perlembagaan parti sahaja berubah atau dipinda tanpa disusuli dengan perubahan sikap dan mentaliti pemimpin @ ahli UMNO terhadap "politik wang @ rasuah politik", pasti kehancuran dan kebinasaan sedang ditempah.

7. Sedari sepanjang perhimpunan itu berlangsung, ucapan berapi-api yang dilontarkan oleh para pembahas amat memukau dan menarik perhatian perwakilan dan pemerhati. pelbagai usul dan teguran telah disampaikan dalam pelbagai gaya persembahan. Namun, tersemat dalam hati penulis... para pembahas kurang menumpukan atau mengaitkan pindaan perlembagaan parti itu kepada persoalan, Bagaimana mengukuhkan jati diri ahli-ahli UMNO, pembinaan modal insan, menjadikan akhlak dan moral sebagai teras kepimpinan dan yang lebih penting bagaimana Islam sebagai landasan dan tunjang dalam perjuangan.

8. Parti UMNO yang mejoriti ahlinya orang Melayu yang beragama Islam... Berubahlah bukan setakat meminda atau menambah ayat, mengubah tulisan atau mengurangkan angka yang terkandung dalam perlembagaan parti UMNO. Tetapi berubah dalam erti kata yang sebenar. Akhlak berpandu pada ajaran Islam yang sebenar, Tindakan bersumber Musyawarah yang terhormat, Perancangan bermatlamatkan hasanah di akhirat dan Kepimpinan contohi keperibadian Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya.

9. UMNO...ubah sebelum rebah. Sudah pasti ahli-ahlinya perlu diberi suntikan keramat, bukan setakat diberi kata-kata semangat atau ucapan yang berapi-api. Bagi saya, kekuatan dalaman dan jatidiri perlu diperkasakan berpaksikan ajaran Islam yg sebenar. Sebab itu budaya ilmu perlu disuburkan semula melalui pelbagai cara antaranya, wujudkan kumpulan-kumpulan usrah di setiap cawangan yang akan berkumpul sekali seminggu. Jadikannya sebagai satu budaya dan amalan kerana disitu lahirnya nilai-nilai kekeluargaan, keharmonian dan proses pentarbiahan yang unggul.

10. Masa untuk parti, barisan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk berubah masih terbentang luas. Cuma, masa akan terus berlalu dan pergi tanpa menghiraukan sesiapapun yang tidak menghargai ruang dan peluang yang diberikan oleh masa. Setiap usul, pindaan dan komentar yang dibuat ketika perhimpunan perlu diterjemahkan dalam bentuk yang sebenar. Halatuju perjuangan perlu berlandaskan dan ditunjangi ajaran Islam yang sebenar agar natijahnya menjadi kebanggaan oleh seluruh rakyat Malaysia.... JANJI DI KOTA, UBAH SEBELUM REBAH!!!

Tuesday, October 13, 2009

ISA - TUNAI JANJI, PIKUL AMANAH, MASA UNTUK BERKERJA

"Tahniah Tan Sri Mohd Isa Samad"

1. Lazimnya, reaksi awal para pemimpin yang dilantik memegang sesuatu jawatan atau yang menang dalam sesuatu pertandingan ialah ungkapan "saya berjanji akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu dengan sebaik- baik mungkin."

2. Dalam Islam, amanah merupakan satu perkara yang sangat penting dan amat dititikberatkan dalam kehidupan seseorang kerana ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar pada amanah yang diletakkan ke atas dirinya.

3. Manusia tidak boleh lari atau melepaskan dirinya daripada menunaikan amanah yang telah diberi kepadanya. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan.

4. Oleh itu, sikap para pemimpin itu sendiri yang menganggap kepimpinan tidak lagi di letakkan sebagai amanah dari Allah tetapi melihatnya sebagai satu kemegahan dan kemasyhuran (populariti) telah mengundang musibah yang mengaibkan.

5. Justeru, janganlah kiranya masalah kepimpinan itu dipandang ringan, jangan sekali-kali ada di antara kita terlalu ghairah untuk menjadi pemimpin dan menganggap kepimpinan itu mengundang tasyrif iaitu untuk dimuliakan, diagungkan dan disanjung-sanjung. Malah kepimpinan juga dianggap mengundang kekayaan serta kemewahan hidup.

6. Yang lebih penting, kita perlu membetulkan persepsi bahawa kepimpinan bukanlah tasyrif, tetapi kepimpinan itu adalah taklif atau bebanan yang bakal dipersoalkan di mahkamah Allah SWT di akhirat kelak.

7. Marilah kita merenungi dan mengingati pesanan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang masyhur bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu." Kepada Tan Sri ISA, anda kena tunai janji, pikul amanah dan sekarang masa untuk berkerja- Rakyat Perlu di Utamakan.

Thursday, October 8, 2009

MALAYSIA "DISERANG" HARI INI..?




Membaca akhbar utusan hari ini, terpandang satu tajuk kecil "Malaysia diserang hari ini?".

1. Kononnya segelintit rakyat Indonesia yang menggelarkan diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) akan menyerang Malaysia hari ini. Menurut laporan 300 orang Indonesia yang mempunyai ilmu kebal akan menyerang Malaysia melalui Pontianak dan Nunukan di Borneo.

2. Kalau nak ikutkan perasaan sudah tentu, kita juga boleh mendesak semua pertubuhan mempertahankan diri di negara ini menunjukkan kekuatan mereka untuk bersedia berperang dengan Indonesia. Kita boleh minta media asing paparkan bagaimana ahli-ahli silat Malaysia berlatih.

3. Tetapi pemikiran rakyat Malaysia tidaklah secetek sesetengah pihak di Indonesia. Kita masih waras dan lebih mementingkan penyelesaian masalah melalui rundingan, biarpun sesuatu isu yang tercetus bukan salah kita.

4. Lihatlah apa yang sedang berlaku di Padang Indonesia, tanpa di minta, tanpa dipaksa dan dengan rasa bertanggungjawab atas dasar kemanusiaan dan rumpun sebangsa seislam. Rakyat Malaysia dengan penuh ihsan menyalurkan bantuan dalam pelbagi bentuk sungguhpun ada segelintir rakyat Indonesia yang langsung tidak menghargainya.

5. Apa yang pasti secara faktanya, rakyat Indonesia lebih memerlukan Malaysia. Kita juga yakin bahawa rakyat Indonesia yang bertungkus lumus mencari rezeki di negara ini, berasa bosan dengan gelagat rakan mereka di negara sendiri. Kita tidak akan sengsara kalau apa-apa berlaku dalam hubungan antara kedua-dua negara kerana Malaysia adalah lubuk emas rezeki bagi rakyat Indonesia.

6. Namun kita tidak perlu bertindak balas kecualilah kedaulatan dan maruah kita dicabul. Biarlah puak-puak yang tidak matang dan belum disunatkan lagi di Indonesia itu dengan gelagat kebudak-budakan mereka.

Wednesday, October 7, 2009

DR.MAZA KETUAI SATU ORGANISASI DAKWAH...???



"Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih dahulu akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO".

Petikan di atas adalah secebis ringkas yang diambil dalam tulisan drmaza di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4/10/09, selanjutnya sila layari http://drmaza.com

1. Secara ringkasnya, saya amat bersetuju dengan pandangan ikhlas drmaza berhubung pengukuhan roh Islam dan perlunya parti UMNO kembali kepada asas perjuangan Islam yg sebenar. Saya secara peribadi berpandangan, parti UMNO sebenarnya lebih menonjolkan agenda perjuangan bangsa iaitu KEMELAYUAN dan Islam hanya dijadikan sebagai penghias dalam kerangka perjuangan mereka.

2. Sebagai golongan muda, saya amat menyedari bahawa kebangkitan atau penerimaan golongan muda yang banyak memihak kepada parti pembangkang khususnya gerakan Islam yang dibawa oleh PAS adalah disebabkan agenda perjuangan Islam yang dibawa oleh mereka. Memang tidak dinafikan, parti UMNO sendiri mempunyai program-program keislaman yang dianjurkan tetapi penganjurannya hanyalah bersifat bermusim dan hanya memenuhi agenda parti sahaja. Jauh sekali pembudayaan Islam itu dijadikan sebagai teras dalam kehidupan seharian.

3. Berbeza dengan parti PAS, dalam setiap masa dan ketika Islam adalah teras dan tunjang perjuangannya. Saya mengambil contoh, dari pimpinan tertinggi hinggalah ke pemimpin bawahan semuanya berimejkan Islam. Bukan itu sahaja, setiap pemimpin mereka sentiasa memenuhi jemputan dan berlegar keseluruh negara untuk menyampaikan kuliah atau tazkirah sama ada subuh, siang atau malam. Inilah roh atau semangat Islam yang ditonjolkan oleh Parti PAS dan kesungguhan mereka untuk menyampaikan risalah Islam tanpa jemu dan letih patut di ikuti oleh parti UMNO.

4. Berbalik kepada tulisan drmaza, saya begitu optimis yang beliau pun mempunyai keinginan yang begitu kuat untuk melihat parti UMNO ini kembali kepada teras perjuangan Islam yang sebenar seterusnya dibudayakan di kalangan ahli-ahlinya. Ruang dan kekuatan UMNO untuk mengukuhkan perjuangan Islamnya belum terlambat cuma memerlukan keazaman, kebangkitan dan keupayaan yang kental bermula dari peringkat kepimpinan tertinggi.

5. Saya merasakan drmaza mempunyai keupayaan dan boleh diberikan ruang oleh parti UMNO untuk menyusun dan merangka program-program keislaman yang bersepadu dan berterusan agar pembudayaan Islam dalam parti UMNO terus meresap dalam jiwa dan kehidupan mereka. Saranan ini bukan bererti drmaza perlu masuk atau menjadi ahli UMNO tetapi kita perlu menghargai dan mengambil peluang nasihat, panduan serta sifat keterbukaan yang beliau tonjolkan. Sebagaimana tulisan drmaza,

"Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis".

6. Sebagai tokoh ilmuan muda Islam yang dinamik dan progresif, saya amat bersetuju seandainya drmaza diberikan tempat atau platform dalam mana-mana organisasi dakwah atau pertubuhan Islam di negara ini untuk meneruskan agenda perjuangan dakwahnya di Malaysia. Walaupun tanpa platform tersebut, beliau masih boleh meneruskan agenda dakwahnya tetapi berbeza seandainya drmaza mengetui sesuatu organisasi dakwah ataupun pertubuhan Islam.

7. Dalam hal ini, saya merasakan kerajaan menerusi sokongan Perdana Menteri akan menimbang dan memperhalusi perlantikan drmaza bagi mengetuai salah satu organisasi dakwah Islamiah di negara ini sebagaimana perlantikan drmaza sebagai Mufti Perlis suatu ketika dahulu. Saya amat yakin, dengan ketokohan dan pemikiran Islam drmaza yang progresif dan dinamik ini, boleh di manfaatkan secara langsung oleh pihak kerajaan dan parti UMNO khususnya.

Friday, October 2, 2009

MUSIBAH...PERINGATAN DARI ALLAH





1. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menyedari bahawa segala musibah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, ribut taufan, kemarau dan sebagainya merupakan peristiwa alam ‘biasa’ yang sering melanda umat manusia. Musibah seumpama ini sebahagiannya merupakan suatu fenomena alam yang telah menjadi qadhâ’ (ketentuan) Allah, yang menunjukkan bahawa Allah SWT Maha Kuasa.


“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada diri kalian sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah swt” (Surah al-Hadid [57] : 22)

Musibah seperti ini bukanlah azab (hukuman) dari Allah swt ke atas manusia. Berbanding umat-umat terdahulu seperti umat Nabi Nuh dan Nabi Luth, azab Allah swt bagi umat akhir zaman (umat nabi Muhammad saw) akan diterima diakhirat kelak bagi semua manusia yang melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada-NYA.


2. Akan tetapi, boleh jadi, musibah seumpama ini merupakan ‘ujian’ dari Allah swt untuk menguji tahap kesabaran dan sejauh mana tahap ketakwaan manusia.


“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah [2]: 155- 156).

3. Di sinilah pentingnya kita, khususnya Umat Islam yang menjadi korban gempa bumi, rebut taufan dan banjir senantiasa bersabar dan pasrah sepenuhnya atas qadhâ’ (ketentuan) Allah swt. Anggaplah ini sebagai ‘cubaan’ dan ‘ujian’ dari Allah swt untuk menguji kesabaran dan ketaqwaan kita. Kita seharus yakin bahawa Allah swt senantiasa mencintai orang-orang yang sabar, bahkan Allah selalu bersama dengan orang-orang yang sabar .

4. Bagi Umat Islam yang tidak ditimpa musibah ini, kita seharusnya dapat meringankan beban mereka yang ditimpa dengan memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk mengikut kemampuan masing-masing atas dasar nilai kemanusiaan dan membantu sesama muslim.


5. Sementara itu, sebahagian musibah lainnya adalah akibat tangan-tangan manusia yang senantiasa gemar melakukan kerosakan di muka bumi ini. Musibah seumpama ini lebih merupakan ‘peringatan’ bagi umat manusia baik yang mukmin mahupun yang kafir yang selama ini melanggar perintah Allah SWT agar mereka kembali ke jalan-Nya.


“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Surah ar-Rum [30]: 41).

6. Menurut Imam Jalalain dan Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan bimâ kasabat aydînnâ (akibat perbuatan tangan manusia...) adalah perbuatan-perbuatan maksiat/kerosakan. Ertinya, pelbagai kerosakan di darat dan di laut yang menimpa manusia adalah akibat kemaksiatan/kerosakan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Di samping itu, musibah juga boleh terjadi dalam bentuk kesempitan hidup yang sejak akhir-akhir ini dialami oleh umat manusia, khususnya kaum Muslimin. ‘Musibah’ seumpama ini lebih merupakan teguran’ sekaligus ‘ancaman’ ketika manusia yang berpaling dari peringatan-Nya.


“Siapa sahaja yang berpaling dari peringatan-Ku (al-Quran), maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta” (Surah Thaha [20]: 124).

7. Setiap 'musibah' yang melanda sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan kita, bahwa telah tiba saatnya untuk kita bertaubat kepada Allah SWT. Sebab, sebahagian besar musibah yang menimpa kita adalah akibat kurangnya kita menta’ati Allah swt dan bahkan mencampakkan syariat-NYA. Ini kerana kemaksiatan terbesar yang kita lakukan adalah kita telah berpaling dari peringatan Allah swt, yakni dengan mencampakkan syariat-Nya, maka taubat kita yang terbesar lagi sejati adalah kita kembali kepada syariat-Nya secara menyeluruh. Iaitu menjadikan Islam sebagai sistem yang mengatur hidup kita secara menyeluruh (bermasyarakat dan bernegara)

8. Justeru, sekiranya kita ditimpa musibah, kita hendaklah menyedari bahawa yang memberikan musibah itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih. Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita. Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.


Wednesday, September 30, 2009

"ISA Masih Diperlukan"




1. Pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang telah dibuat dan ianya merupakan pilihan yang tepat. Pemilihan Mohd. Isa juga sudah pun dijangka berdasarkan populariti beliau. Rekod penglibatan beliau, yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, dalam politik dan pilihan raya menunjukkan Mohd. Isa dapat diterima dan disokong oleh rakyat pelbagai kaum.

2. Pengumuman pemilihan Mohd. Isa oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga sudah tentu mengambil kira semua itu serta ketokohan beliau. Sepanjang karier politiknya, Mohd. Isa pernah dikritik tetapi beliau telah membuktikan dirinya seorang anggota UMNO yang tetap patuh dan setia kepada kehendak serta keputusan parti.

3. Dengan kriteria-kriteria yang dimiliki dan ada pada Mohd. Isa tersebut akan membantu dan memudahkan jentera pilihan raya BN bergerak lancar di Bagan Pinang. Pada masa sama masyarakat keseluruhannya tetap yakin rakyat di Bagan Pinang akan memberi isyarat jelas dalam menyokong BN pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini, seperti mana yang ditunjukkan pada masa-masa lepas. 'Nampaknya ISA masih diperlukan, dan jangan hapuskan ISA'.


Tuesday, September 29, 2009

BN PERLU CARI PLATFORM BARU GANTI MIC


1. Seperti yang di uar-uarkan, sebuah parti baru yang akan mewakili kaum India, Makkal Sakhti bakal dilancarkan secara rasmi penubuhannya pada 10 Oktober ini dan pada masa yang sama buat kali keenam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) akan mengulangi permintaan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

2. Selain itu kita juga tidak harus melupakan Parti Progresif India (IPF) yang sebelum ini sememangnya berhasrat untuk menjadi ahli komponen kepada BN. Berdasarkan kepada senario ini dan berikutan perkembangan politik semasa adalah jelas masanya sudah tiba untuk BN mengkaji menambah parti komponen yang mewakili kaum India. Sama ada hendak diakui atau tidak, MIC kini bukan lagi menjadi taruhan BN bagi meraih sokongan kaum India. Pencapaian yang merosot dalam pilihan raya umum lalu dan sokongan yang semakin merudum sudah membuktikan era dominasi MIC sudah berada di penghujungnya...

3. MIC tidak lagi digeruni oleh parti pembangkang sebagai parti yang boleh membolot undi masyarakat India. Sebaliknya dari semasa ke semasa, parti berkenaan semakin ditolak oleh kaum itu, biarpun MIC mendakwa mereka adalah jaguh kaum India. MIC bukan lagi parti dominan yang mewakili mejoriti kaum India dalam BN.. Kewujudan pertubuhan Hindraf, penubuhan parti Makkal Sakhti, peningkatan jumlah anggota dalam IPF pertambahan keahlian kaum India dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan terdapat pula sebahagian kecil kaum India memilih Parti Gerakan sebagai wadah perjuangan politik mereka sudah membuktikan bahawa MIC semakin kehilangan pengaruhnya.

4. Oleh itu, BN tidak boleh lagi selama-lamanya bergantung kepada MIC bagi meraih sokongan kaum India. Perkembangan politik yang berlaku sudah membuktikan bahawa sokongan kaum tersebut kepada BN akan terus merosot jika parti berkenaan hanya bergantung kepada MIC. BN perlu mencari alternatif bagi menambah atau lebih tepat lagi memulihkan sokongan kaum itu. Seperti mana kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan tidak boleh kehilangan pengaruh di kalangan masyarakat India. Atas alasan itu, maka jika Parti Makkal Sakhti diterima sebagai ahli komponen terbaru dan ditambah pula dengan kehadiran KIMMA yang mewakili kaum India Muslim, maka kekuatan BN akan bertambah.

5. Tidak usahlah BN terlalu memikirkan apa yang MIC terutama Presidennya, Datuk Seri S.Samy Vellu katakan. Apa yang lebih penting ialah survival politik BN. Akibat kegagalan MIC meraih sokonganlah yang menyebabkan pakatan pembangkang menjadi kuat apabila semakin ramai calon daripada kaum India mencatatkan kejayaan dalam pilihan raya. Semua itu berlaku kerana orang sudah muak dengan MIC, malah pendirian tegas Samy Vellu untuk terus kekal berkuasa boleh dianggap mampu memberikan liabiliti kepada BN seperti mana dikatakan oleh Dr. Mahathir sebelum ini.

6. Dalam memperkatakan soal menerima Parti Makkal Sakhti sebagai komponen BN bersama-sama KIMMA, tiada siapa pun perlu gundah gulana, apatah lagi MIC. Kalau Samy Vellu begitu yakin bahawa sokongan kaum India kepada parti pimpinannya tidak akan berubah, maka kehadiran parti baru itu tidak harus dibimbangkan. Biarlah Makkal Sakhti berusaha meraih sokongan daripada kaum India bersama-sama MIC kerana itu adalah lebih baik. Tambahan pula kalaulah kaum India menyokong salah satu parti itu, yang akan meraih keuntungan ialah BN.

7. Pada masa ini, kita harus akui bahawa MIC sedang dilanda pelbagai kemelut, selain permusuhan yang berpanjangan antara bekas Timbalan Presiden, Datuk S.Subramaniam dengan Samy Vellu, ternyata sekali MIC berada di ambang perpecahan. Kalau ia berlanjutan sudah pasti ini akan menjejaskan kekuatan BN. Justeru adalah lebih baik jika dominasi MIC sebagai satu-satu parti komponen dalam BN mewakili kaum India ditamatkan supaya segala masalah dalamannya yang berlaku tidak menyeret BN bersama-sama.